CBRM bantu ibu tunggal mulakan perniagaan

Noor Hidayu Che Teh menjual pelbagai jenis kuih ketika ditemui di gerainya di Sik semalam. Beliau bersyukur selepas menerima bantuan Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Sektor Mikro TEKUN Nasional (CBRM) dari Tekun Sik. Perniagaan yang diusahakan bermula secara kecil-kecilan kini dilihat bertambah baik.- Foto BERNAMA

SIK: Pelbagai inisiatif yang diperkenalkan kerajaan bagi membantu peniaga kecil antaranya Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Sektor Mikro TEKUN Nasional (CBRM) membawa sinar harapan kepada peniaga kecil yang terjejas berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Antara yang menerima manfaat program itu ialah seorang ibu tunggal, Noor Hidayu Che Teh, 26, yang berniaga kuih di gerainya di tepi jalan di Kampung Banggol Kiat   di sini dan terkesan dengan PKP yang dilaksanakan kerajaan bagi memutuskan rantaian wabak Covid-9 di   negara ini.

Ibu kepada dua anak itu memutuskan memohon pembiayaan tersebut namun tidak menaruh harapan tinggi permohonannya akan diluluskan.

“Saya tidak menyangka permohonan saya diluluskan sebanyak RM10,000 tanpa dikenakan sebarang faedah dan saya telah menerima RM2,000 daripada keseluruhan jumlah pembiayaan itu pada 22 April lepas,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, baru-baru ini.

CBRM adalah skim pembiayaan mikro bagi usahawan yang terjejas akibat wabak Covid-19 untuk membantu mereka memulihkan dan memulakan semula perniagaan sedia ada.

TEKUN Nasional bertindak sebagai pemudah cara untuk permohonan skim itu yang mempunyai peruntukan berjumlah RM200 juta.

Selain kuih-muih, Noor Hidayu yang sudah berniaga hampir empat tahun dan dibantu kakaknya Norashidah, 35, juga menjual keropok lekor goreng, nuget, rojak buah serta minuman dari jam 2 petang hingga 7 malam.

Sewaktu PKP dikuatkuasakan, Noor Hidayu berkata dia menjalankan perniagaan secara dalam talian namun kurang memberangsangkan kerana pergerakan yang terhad menyukarkannya menghantar pesanan.

Keadaan itu menyebabkan dia tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk memulakan semula perniagaannya sebaik PKP dilonggarkan.

“Ketika PKP, kami tidak boleh bergerak jauh dari kawasan tempat tinggal, jadi saya tidak berani untuk terima tempahan daripada pelanggan jauh. Jadi, apabila dapat wang pembiayaan RM2,000 ini sangat meringankan beban saya untuk memulakan semula perniagaan di gerai saya,” katanya.

Katanya, dia bercadang memanfaatkan baki pembiayaan sebanyak RM8,000 yang masih belum diterima untuk menambah baik perniagaan selain membuka sebuah lagi gerai. – BERNAMA