“Bersatu tidak terburu-buru lucutkan keahlian Tun M”

LIMA pemimpin Bersatu terlucut keahlian kerana memilih untuk bersama dengan barisan
pembangkang.• Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak mengambil tindakan terburu-buru terhadap  bekas pengerusi parti Tun Dr Mahathir Mohamad dan empat lagi Ahli Parlimen Bersatu walaupun terdapat banyak desakan supaya tindakan terhadap mereka diambil lebih awal.

Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebarang tindakan haruslah dilakukan dengan adil ke atas semua pihak  dan memastikan apa sahaja tindakan yang dibuat mestilah berlandaskan perlembagaan parti.

“Tiada mana-mana individu yang mengatasi perlembagaan parti.  Saya yakin dan percaya Bersatu akan terus teguh. Kita telah menghadapi banyak cabaran dari awal parti ini saya tubuhkan.

“Kita telah menempuh banyak duri dan ranjau dalam perjuangan. Yang penting kita tidak berjuang demi mana-mana individu, tetapi demi agama, bangsa dan negara kita,” katanya yang juga merangkap pemangku pengerusi parti itu dalam satu kenyataan semalam.

Jumaat lepas Setiausaha Agung Bersatu  Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam satu sidang media khas menegaskan Dr Mahathir Mohamad dan empat lagi Ahli Parlimen Bersatu tidak dipecat daripada parti itu, sebaliknya terhenti keahlian mereka kerana melanggar perlembagaan parti.

Hamzah berkata, keahlian Dr Mahathir dan empat lagi iaitu Timbalan Presiden Bersatu  Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Ahli  Majlis Pimpinan  Tertinggi Bersatu Dr Maszlee Malik, Ketua Armada Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Datuk Amiruddin Hamzah terhenti serta-merta selepas mereka bertindak duduk di blok pembangkang pada sidang Parlimen pada 18 Mei lepas.

Muhyiddin dalam kenyataan itu juga  turut menasihatkan  ahli-ahli parti agar terus bersabar dan bertenang dalam menghadapi situasi terlucutnya keahlian lima orang berkenaan.

“Tentunya kita berasa dukacita dengan pilihan yang dibuat YB Tun Dr Mahathir untuk tidak berada bersama-sama kita dalam wadah dan haluan perjuangan parti sepertimana yang telah diputuskan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi.  

“Tun (Dr Mahathir) bersama pengikutnya yang lain memilih untuk terus bekerjasama dengan Pakatan Harapan walaupun parti memutuskan sebaliknya. Jika itu pilihan Tun, saya ucapkan selamat maju jaya,” katanya.

Muhyiddin  turut menyeru ahli parti supaya merapatkan saf bersama-sama dengannya  untuk terus perkukuhkan  Kerajaan yang telah ditubuhkan demi masa depan Malaysia yang lebih aman dan sejahtera.

Dalam kenyataan itu juga, Muhyiddin turut meminta ahli parti supaya  berdoa kepada Allah SWT  agar diberikan segala kekuatan dalam menghadapi zaman yang sukar ini dengan penuh tabah dan beristiqamah serta dibimbing dengan segala taufik dan hidayah-Nya. – BERNAMA