Leka berhibur, 9 individu dicekup

PADAH… Pasukan polis melakukan pemeriksaan ke atas individu yang melanggar PKPB di sebuah pusat hiburan.

BINTULU: Akibat gatal hendak berhibur, sembilan individu tempatan dicekup polis di sebuah pusat hiburan di sini, sekitar 12.05 tengah malam, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Zulkipli Suhaili berkata, semua individu terbabit yang terdiri daripada enam lelaki dan tiga wanita yang berumur 19 hingga 68 tahun ditangkap polis dalam serbuan yang dijalankan.

“Semasa serbuan dilakukan, oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu itu, enam lelaki itu sedang leka minum minuman keras di sebuah meja, manakala tiga lagi perempuan bersembunyi di bahagian dapur pusat hiburan, ” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini semalam.

Menurutnya, perbuatan itu dihidu pihak semasa pemantauan dijalankan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan.

“Semasa pemantauan rutin pasukan pematuhan dalam tempoh PKPB, pasukan polis terdengar bunyi bising dari sebuah pusat hiburan,” katanya.

Sejurus itu jelasnya, pasukan polis kemudiannya mengetuk pintu beberapa kali sambil memperkenalkan diri sebagai polis sebelum pintu premis itu dibuka oleh salah seorang lelaki.

Tegasnya, semua individu terbabit dibawa ke JSJ IPD Bintulu untuk siasatan lanjut di bawah Peraturan 3 Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 dan seksyen 269 Kanun Keseksaan.

Penjaga premis turut disiasat di bawah seksyen 5(2) Ordinan Hiburan 2001 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen sah berkaitan status operasi pusat berkenaan.