Lee santuni petugas barisan hadapan

TERIMA KASIH… Datuk Lee Kim Shin yang juga menteri bertanggungjawab bagi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri (JPBBM) merakamkan gambar kenangan bersama petugas barisan hadapan di Lapangan Terbang Miri, semalam.

LIONG CHAI LING

MIRI : Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin yang juga menteri bertanggungjawab bagi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri (JPBBM) semalam mengadakan lawatan ke Lapangan Terbang Miri untuk memantau keadaan petugas barisan hadapan.

Dalam lawatan itu, Lee menzahirkan terima kasih kepada petugas barisan hadapan yang bertugas sepanjang perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Gawai Dayak.

Beliau  turut menyampaikan  buah tangan berbentuk kek Hari Raya dan Gawai untuk para petugas sebagai penghargaan kepada mereka yang bertugas di Lapangan Terbang Miri dan tidak dapat mengambil cuti semasa perayaan kerana perhidmatan mereka diperlukan.

Petugas barisan hadapan ini adalah terdiri daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Jabatan Imigresen Malaysia Miri, Pejabat Residen Bahagian Miri, Jabatan Tanah dan Survey ,Jabatan Kesihatan Bahagian Miri,Malaysia Airport Berhad dan Majlis Bandaraya Miri, polis dan wakil-wakil hotel.

“Semoga sumbangan yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat memberi semangat dan sokongan moral kepada petugas barisan hadapan semasa menjalankan tugas di lapangan terbang,” kata Lee menerusi satu kenyataan semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri merangkap Pemangku Residen Bahagian Miri, Abdul Aziz Mohd Yusuf.

Sementara itu, sebanyak dua penerbangan iaitu masing-masing dari Labuan dan Kuala Lumpur telah tiba di Lapangan Terbang Miri semalam.

Semua penumpang yang tiba, disaring dan ditemuramah berdasarkan Prosedur Standard Operasi (SOP) Covid-19 oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dipakaikan’wristband’ sebelum mereka dihantar ke hotel-hotel yang ditetapkan untuk tujuan kuarantin.

Dalam tempoh tersebut, sekiranya keputusan ujian yang diperolehi negatif, mereka akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing dan meneruskan kuarantin di rumah sehingga tempoh 14 hari tamat.