Kekal amalkan hidup norma baharu

KUCHING: Perayaan Hari Gawai yang diraikan dalam norma baharu kali ini pasti meninggalkan kesan di hati rakyat, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu.

“Saya harap rakyat terus kekal patuh kepada arahan kerajaan untuk terus duduk di rumah, keluar bila perlu dan kekalkan penjarakan sosial satu meter di antara satu sama lain,” katanya sambil mengucapkan Selamat Hari Gawai khasnya kepada penduduk Tanjung Datu, Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat serta seluruh rakyat Sarawak.

Jamilah mengakui norma baharu telah mendidik masyarakat hidup dalam kesederhanaan, lebih berdisiplin dan peka kepada kebersihan.

Oleh demikian, beliau menyeru rakyat terutamanya penduduk di Tanjung Datu untuk kekal mengamalkan hidup norma baharu sehingga pandemik Covid-19 berjaya dihapuskan.

“Dengan ini saya berharap di masa hadapan kita boleh menyambut Hari Gawai bersama,” ujarnya.