Jejambat baharu bakal dibina

TAKLIMAT… Dr. Abdul Rahman menyertai taklimat bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan wakil SMK Tun Abang Haji Openg mengenai pembinaan jejambat.

KUCHING: Sebuah jejambat bakal dibina berhampiran SMK Tun Abang Haji Openg untuk meningkatkan tahap keselamatan pelajar dan warga kerja sekolah.

Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, pembinaan jejambat tersebut merupakan salah satu daripada skop projek Jalan Lingkaran Dalam Bahagian Kuching – Pakej B.

“Jejambat ini penting untuk menjamin keselamatan pengguna jalan raya terutama pelajar dan warga sekolah,” katanya.

Beliau berkata, demikian selepas mengikuti taklimat bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan wakil SMK Tun Abang Haji Openg baru-baru ini.

Dr. Abdul Rahman yang juga Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) menjelaskan, selain pembinaan jejambat tersebut, projek itu turut merangkumi kerja menaiktaraf jalan satu kepada dua lorong berkembar sepanjang 5.18 kilometer dari Bulatan Mardi ke Bulatan Demak.

Menurutnya, kerja menaiktaraf turut dijalankan dari Bulatan Demak ke Bulatan Gersik sepanjang 2.07 kilometer.

“Secara keseluruhannya kerja menaik taraf jalan ini melibatkan laluan sepanjang 7.25 kilometer.

“Ia akan melancarkan lalu lintas dari Jalan Sultan Tengah ke Jalan Tun Salahuddin,” ujarnya.

Selain itu, beberapa lampu isyarat turut dibina manakala sebuah jambatan turut dibina menyeberangi Sungai Siol serta pembinaan lampu jalan.

Sementara itu, Dr. Abdul Rahman berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak kerana membiayai pembinaan jalan tersebut.

Oleh Diyana Samsuddin