Kluster baharu di Kidurong

KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah bersama Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr. Chong Chee Kheong (kanan) selepas sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan semalam. • Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Kes baharu Covid-19 di Malaysia semalam kembali kepada satu angka membabitkan hanya enam jangkitan, menjadikan jumlah kes positif kepada 8,535 kes, manakala kluster baharu dikesan di Kidurong dekat Bintulu, Sarawak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 70 kes pulih daripada Covid-19 dan dibenarkan discaj semalam, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 8,070 kes iaitu 94.6 peratus, daripada jumlah keseluruhan kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 344 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 di sini semalam.

Menurut Dr. Noor Hisham, daripada enam kes baharu yang dilaporkan, dua kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan satu warganegara Malaysia dan satu bukan warganegara yang merupakan pemastautin tetap.

“Kesemua empat kes penularan dalam negara adalah dalam kalangan warganegara,” katanya.

Sehingga kini, Dr. Noor Hisham berkata, sebanyak tiga kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi dan tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau turut memaklumkan tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan semalam dan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia kekal sebanyak 121 kes atau 1.42 peratus, daripada jumlah keseluruhan kes.

Sementara itu, Dr. Noor Hisham berkata, KKM telah mengesan satu kluster baharu di Sarawak, iaitu kluster Kidurong yang melibatkan enam kes setakat ini.

Beliau berkata, kes indeks adalah merupakan seorang pelajar Insititut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), yang mana beliau dikesan positif pada 12 Jun lalu.

“Aktiviti pengesanan kes secara aktif mendapati, bahawa ahli keluarga beliau juga telah dikesan positif Covid-19, iaitu ibu, bapa, dan dua adik-beradik beliau.

“Salah seorang rakan kepada ayah kes (pelajar) ini juga didapati positif Covid-19, menjadikan ini sebagai sebuah kluster baharu di Kidurong,” katanya lagi.

Susulan itu beliau berkata, siasatan dan saringan kontak rapat telah dijalankan, dengan setakat ini seramai 231 orang telah dikenal pasti.

Daripada jumlah itu, 163 orang telah disaring dan kesemuanya adalah negatif Covid-19, dan punca jangkitan masih dalam siasatan. – Bernama