Berpotensi jadi pusat pertanian luar bandar

UNTUK KENANGAN… Safiee merakam kenangan bersama rombongannya selepas melawat projek pembinaan Stesen Pertanian bagi kawasan Nanga Singat, Sungai Lengan pada 15 Mac lalu.

KERAJAAN Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) komited memperkasakan sektor pertanian bagi mencapai matlamat menjadikan negeri ini sebagai pengeluar dan pengeksport makanan utama negara menjelang 2030.

Salah satu daripada usaha bagi mencapai matlamat tersebut ialah dengan pembinaan Stesen Pertanian bagi kawasan Nanga Singat, Sungai Lengan bernilai RM4.3 juta

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata, kawasan Daro terutamanya dan Wilayah Tengah Sarawak secara keseluruhannya mempunyai potensi yang besar untuk berkembang maju dalam pertanian.

“Projek tersebut yang dijangka siap pada penghujung tahun 2020 berpotensi sebagai pusat pembangunan pertanian bagi kawasan luar bandar.

“Ia akan membantu memberikan nasihat, rujukan, menyelia, menyelaras segala aktiviti dan program pembangunan pertanian,” jelasnya kepada Utusan Sarawak.

Dalam perkembangan sama, katanya, penyediaan tapak projek perintis fertigasi halia di kawasan Sungai Lengan, Sibu sedang giat dilaksanakan.

Menurutnya, ia merupakan salah satu projek bagi  Program Dana Fasilitasi Pertanian (AFF) 2020 bagi DUN N43 Daro di bawah penyeliaan Jabatan Pertanian Daerah Sibu.

“Semoga projek ini akan menjadi pemangkin bagi projek-projek lain di bawah program ini yang meliputi beberapa kawasan di empat buah daerah iaitu Daro, Matu, Sibu dan Meradong di dalam kawasan DUN N43 Daro,” ujarnya.

Terdahulu pada 15 Mac lalu, Safiee bersama pegawai-pegawai teknikal daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Wilayah Tengah, wakil Jabatan Pertanian Sibu, pihak kontraktor dan Ketua-ketua Kaum bagi kawasan Sungai Lengan telah melawat projek pembinaan stesen pertanian tersebut.

Dalam pada itu, pegawai teknikal JKR Wilayah Tengah telah menyampaikan taklimat ringkas berkaitan projek stesen pertanian tersebut kepada semua peserta rombongan tersebut.

Oleh Akun Giman