Green Barter Trade DBKU tangani sisa elektronik bandar

SISA elektronik tidak boleh dilupuskan bersama sisa pepejal harian yang lain.

E-sisa atau E-waste adalah perkataan yang digunakan di seluruh dunia yang merujuk kepada bahan buangan atau sisa elektrik dan elektronik yang tidak lagi digunakan. Di Malaysia, E-sisa diberikan kod sebagai SW110.

Seperti yang sedia maklum, masalah e-sisa ini masih lagi tidak dapat ditangani malah, masalah pembuangan e-sisa ini semakin meningkat di serata pelusuk dunia.

Menurut ‘Rakan Alam Sekitar’ SW110 atau e-waste ditakrifkan sebagai buangan daripada pemasangan elektrik dan elektronik yang mengandungi komponen seperti akumulator, suis raksa, kaca daripada tiub sinar katod dan kaca teraktif atau kapasitor bifenil terpoliklorin yang lain, atau yang dicemari dengan kandungan kadmium, raksa, plumbum, nikel, kromium, kuprum, litium, perak, mangan atau bifenil terpoliklorin.

Secara umum istila seperti “kadmium, raksa, plumbum, nikel, kromium, kuprum, litium, perak, mangan atau bifenil terpoliklorin” terlalu saintifik bagi pemahaman masyarakat kita.

Namun bahan-bahan berkenaan jika tidak dilupus dengan betul ia boleh memberi impak yang buruk kepada kesihatan dan alam sekitar jika masalah ini tidak dipantau atau tidak diambil berat.

Bagi Sarawak sendiri sehingga kini belum ada inisiatif untuk membangunkan pusat pelupusan e-sisa seperti yang pernah diutarakan oleh Mantan Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai dalam artikel akhbar tempatan pada 9 April 2014 dahulu.

Satu kenyataan dari DBKU baru-baru ini menyebut bahawa pihak  DBKU pada permulaannya ada melaksanakan program ini dengan mengumpul bateri telefon bimbit terpakai sahaja.

Walaubagaimanapun, dalam untuk meningkatkan kadar kitar semula E- waste, penerimaan barangan elektronik seperti komputer, televisyen, mesin basuh, kipas angin dan lain-lain seterusnya DBKU telah memperluaskan menyediakan e-waste DBKU melalui perkhidmatan program Green Barter Trade (GBT) di DBKU@Depo atau melalui vendor kitar semula yang dilantik oleh DBKU.

Purata setahun sisa elektronik yang dikumpul dalam kawasan DBKU adalah seberat enam tan. Dalam untuk perancangan meningkatkan kadar kitar semula di DBKU, DBKU telah merancang untuk membangunkan fasiliti Eco Depo.

Eco Depo DBKU berperanan sebagai pusat transit untuk penyimpanan sementara barangan terpakai dan sisa binaan yang dihantar oleh komuniti. Melalui konsep ini, barangan terpakai dan sisa binaan ini akan diuruskan oleh vendor yang dilantik.

KESEDARAN MASIH RENDAH

Di Malaysia, kitar semula kertas, aluminium dan barangan barangan lain telah diberikan didikan sejak di awal bangku sekolah, tetapi tidak bagi masalah e-sisa. Masalah ini di Malaysia seolah-olah tidak dititik beratkan dan tidak diserapkan dalam didikan pelajar sekolah sehingga kepada perkerja.

Seperti semua yang sedia maklum, dengan teknologi yang semakin pesat, terdapat banyak jenis pengeluaran elektronik dipasarkan untuk mencapai permintaan pasaran.

Rakan Alam Sekitar juga mendedahkan contoh dalam industri pembuatan untuk menghasilkan komputer, terdapat ratusan komponen yang digunakan dan melibatkan seribu satu macam proses.

Pembuatan litar dalam komputer melibatkan proses penyaduran elektrik di mana menggunakan beberapa jenis logam berat. Manakala untuk menghasilkan cip komputer pula melibatkan penggunaan bahan-bahan kimia seperti asid dan juga pelarut yang terdiri daripada bahan organik dan juga bukan organik yang boleh memberi kesan kepada kesihatan manusia dan kemusnahan pada alam sekitar.

Komponen-komponen di dalam e-sisa boleh mengancam kesihatan manusia dalam jangka pendek dan juga kesan dalam jangka panjang. Oleh itu, masalah ini perlu ditangani secepat mungkin dan dipupuk di bangku sekolah. Namun inisiatif berkenaan seolah dipandang enteng oleh banyak pihak sedangkan kini gajet atau peralatan elektronik telah menjadi ‘nadi’ manusia.

Kemajuan dunia kini seolah menidakkan kesan buruk e-sisa di mana kesedaran terhadap pelupusan bahan ini masih belum diambil serius.

Kaedah pelupusan yang betul dan selamat perlu mengikut Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005. Peraturan ini memberitahu kaedah yang betul dan selamat untuk pelupusan. Sisa elektronik tidak boleh dilupuskan bersama sisa pepejal harian yang lain berikutan kandungan bahan kimia dan logam berat berbahaya pada barangan elektronik. Ia perlu dilupuskan di tapak pelupusan khas.

Malangnya pembabitan dan sambutan masyarakat Malaysia masih lemah walaupun perundangan menggalakkan kitar semula e-sisa sudah ada, tiada garis panduan khusus dinyatakan bagaimana proses kitar semula ini boleh dilaksanakan.

Oleh Diyana Samsuddin