PdP atas talian buka ruang pendidikan berterusan

NOORJULIAWANI CHULA, bergambar bersama anak-anak muridnya yang belajar di Tabika Perpaduan Sekama sebelum pelaksanaan PKP 18 Mac lalu.

KERAJAAN Malaysia telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak Covid-19, pelaksanaan ini telah menyebabkan banyak aktiviti terbatas dan ditutup termasuklah institusi pengajian tinggi dan sekolah-sekolah di seluruh negara.

Kebanyakan universiti tempatan baik awam mahupun swasta termasuk sekolah-sekolah dan tabika tiada pilihan selain menggunakan kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara atas talian bagi memastikan silibus pengajaran dapat disampaikan dengan sebaik mungkin dan sesi pembelajaran tidak ditangguhkan

Penularan wabak ini telah mengubah norma kehidupan biasa selama ini, bagi memastikan kanak-kanak peringkat tabika tidak ketinggalan PdP secara dalam talian telah diperkenalkan.

Menurut Noorjuliawani Chula, guru di Tabika Perpaduan Sekama, pihaknya turut menjalankan pengajaran secara atas talian melalui pebagai aplikasi yang dapat membantu proses pembelajaran kanak-kanak.

“Di sini kreativiti guru diperlukan untuk melaksanakan proses pembelajaran atas talian kepada anak murid  berdasarkan latar belakang mereka.

“Terdapat pelbagai aplikasi yang biasa boleh digunakan oleh guru bagi menyampaikan arahan dan pembelajaran seperti Telegram, Whatsapp dan Googel Class Room.

“Bagi kanak-kanak peringkat tabika, proses pembelajaran ini amat memerlukan kerjasama sepenuhnya daripada ibu bapa atau penjaga bagi melancarkan proses pembelajaran ini,” katanya ketika ditemu ramah Utusan Sarawak, baru-baru ini.

Menurutnya, di rumah ibu bapa hendaklah sentiasa memantau anak-anak dan membimbing mereka bagi mengenal huruf, mengenal nombor dan membaca.

“Sekurang-kurangnya mereka dapat melakukan aktiviti pembelajaran selain daripada menghabiskan masa di rumah dengan menonton televisyen dan bermain sahaja.

“Dengan ada nya pembelajaran atas talian ini juga dapat merapatkan hubungan kekeluargaan antara ibubapa dan anak-anak di rumah.

“Bagi proses pembelajaran di Tabika Perpaduan Sekama, para guru akan memberi arahan tugasan kepada ibu bapa dan penjaga di dalam kumpulan Whatsapp.

“Seterusnya, ibu bapa akan membuat aktiviti yang telah diberi oleh pihak guru kemudian mengambil gambar dan video anak-anak melakukan tugasan di rumah dan menghantar hasilnya di dalam kumpulan WhatsApp,” jelasnya mengenai proses pembelajaran di peringkat tabika.

Ujarnya, setelah ibu bapa menghantar laporan anak-anak membuat tugasan, pihaknya akan membuat laporan kepada pihak pejabat dalam bentuk video bagi memaklumkan PdP Online telah dijalankan setiap hari.

“Dalam melaksanakan proses ini pelbagai cabaran yang dihadapi, ini kerana di kalangan ibubapa yang tidak ada akses internet untuk menerima arahan di dalam Whatssap.

“Keberkesanan PdP secara maya ini juga bergantung kepada ibu bapa dan penjaga kanak-kanak kerana ada juga ibu bapa yang tidak mampu untuk menyediakan internet dan telefon yang dapat digunakan untuk pembelajaran ini,” ujarnya.

Beliau berkata, pembelajaran atas talian jauh berbeza dengan pembelajaran biasa secara bersemuka dengan kanak-kanak dan beliau lebih suka melaksanakan pengajaran dan pembelajaran didalam kelas kerana dapat melakukan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan dengan kanak-kanak.

“Selain itu kanak-kanak dapat belajar berinteraksi dengan rakan-rakan, namun memandangkan keadaan sekarang saya rasa lebih sesuai PdP ini dijalankan di rumah sahaja kerana kita perlu melindungi kanak-kanak daripada virus yang bahaya ini.

“Apabila sekolah dibuka nanti, kita semua kena menyesuaikan diri dengan norma baharu, bagi memastikan keberkesanannya ibubapa hendaklah memainkan peranan penting.

“Disamping itu, masa sekarang pelbagai saluran media boleh digunakan untuk anak-anak menguasai pembelajaran seperti mengenal huruf, nombor dan membaca.

“Cuma pilihan terletak ditangan ibubapa atau penjaga, saya berharap semua yang berlaku ini akan berakhir dan kanak-kanak dapat belajar dan menjalani kehidupan seperti biasa,” tambahnya.

Beliau berharap ibu bapa di rumah sentiasa memantau anak masing-masing kerana pada masa sekarang proses PdP atas talian dilakukan semua peringkat.

“Semua ini tidak akan berjaya tanpa sokongan daripada ibu bapa dan penjaga kanak-kanak, marilah kita bersama-sama menjaga kesihatan dan belajar menerima norma baru ini,” katanya lagi.

Oleh Zarina Abdullah