Kerajaan Sarawak utamakan keperluan penduduk

TERIMA KASIH… Datuk Francis Harden Hollis menyerahkan cek MRP kepada Biro Wanita Rumah Grain, San Munggor ketika berlangsungnya program lawatan beliau di lima rumah panjang di Sri Aman.

SRI AMAN: Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis bersama rombongannya telah mengadakan program lawatan ke lima buah rumah panjang dalam kawasan ini.

Tujuan utama program lawatan ini diadakan adalah untuk menyerahkan cek peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada sembilan JKKK dan tiga biro wanita dari rumah panjang itu yang mencatat nilai keseluruhan sebanyak RM43,000.

Lima rumah panjang yang menerima cek berkenaan adalah Rumah Grain dari San Munggor, Rumah Chau, San Ugol Asal, Rumah Intai, San Ugol Atas, Rumah Story, Entawa Wong Padong dan Rumah Ringgit Bayang, Ibol.

Selain itu beliau bersama rombongannya juga turut memantau projek-projek pembangunan yang sedang dilaksana di sekitar penempatan rumah panjang itu di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang.

Kerajaan Sarawak amat menitik beratkan kehendak penduduk terhadap rangkaian jalan raya, bekalan elektrik 24 jam, bekalan air bersih dan jambatan di kawasan penempatan mereka.

“Atas sebab itulah projek-projek tersebut sedang giat dilaksanakan di kawasan luar bandar dalam DUN Simanggang agar penduduk dapat menikmati kesenangan hidup seperti penduduk di kawasan bandar kelak,” kata beliau.

Harden yang juga ADUN Simanggang berharap agar penduduk terus kekal setia terhadap Gabungan Parti Sarawak bagi merealisasikan wawasan Sarawak Maju menjelang tahun 2030 nanti.

“Wawasan ini boleh dicapai selagi semua penduduk termasuk di DUN Simanggang terus memberi kepercayaan terhadap GPS untuk meneraju Kerajaan Sarawak dalam tempoh 10 tahun ini,” kata beliau.

Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Sri Aman, Kaunselor Andar Suntai, Kaunselor Daniel Sawing, Kaunselor Gerunsen Nyelang, Kapitan Ling Siew Hung, Tuai Rumah Mingging Sigan, Tuai Rumah Lina Busang dan Tuai Rumah Rose Emma Stanley Gate.

Oleh Valentine Ngumbang