Deritai penyakit buah pinggang mesin hemodialisis jadi peneman Laila

Deritai penyakit buah pinggang mesin hemodialisis

Sudah hampir tiga tahun, tiga kali seminggu Sharifah Lailawati Wan Mustapha, 42, berulang alik ke Pusat Hemodialysis Angkasa di Jalan Depo untuk melakukan rawatan hemodialisis sejak disahkan menghidap Penyakit Buah Pinggang CKD Chronic.

Setiap sesi rawatan menelan kos RM200.  Cuma beliau bernasib baik kerana rawatan ini ditanggung oleh Kerajaan Pusat memandangkan suami beliau adalah kakitangan Kerajaan.

Mengimbas kembali pengalaman beliau sebelum menerima diagnosis penyakit ini, Sharifah Lailawati atau lebih mesra dipanggil Laila berkata, beliau mengalami beberapa simptom seperti kerap demam, sentiasa dalam keadaan letih lesu, kulit terasa gatal dan kencing berbuih.

“Selepas beberapa ujian dijalankan, doktor memberitahu saya mengalami masalah buah pinggang dan perlu menjalani rawatan hemodialisis bagi membersihkan darah,” kata ibu kepada seorang anak ini.

Malah doktor memberitahu penyakit beliau berpunca daripada masalah tekanan darah tinggi yang berterusan.

Ditanya bagaimana respon beliau ketika pertama kali mendengar penjelasan doktor, Laila berkata beliau ‘teramat sedih’ tetapi menerima ketentuan itu dengan redha.

“Siapa yang tidak sedih kalau dapat berita sedemikian, apatah lagi saya terpaksa menjalani rawatan hemodialisis seumur hidup,” tambah beliau.

Namun Laila bersyukur kerana mendapat mempunyai ahli keluarga yang tidak jemu-jemu memberikan kata-kata semangat serta memberi sokongan padu kepada beliau untuk menjalani rawatan.

“Berkat dorongan keluarga, saya terus membuat temujanji dengan Klinik Pakar di Hospital Umum Sarawak untuk mendapatkan rawatan susulan,” kata beliau.

Bercerita lanjut tentang rawatan hemodialisis ini, Laila berkata mesin hemodialisis berfungsi seperti buah pinggang untuk mencuci kotoran di dalam darah selepas buah pinggang sendiri tidak mampu berbuat demikian.

Kata Laila, pesakit buah pinggang seperti beliau tiada pilihan melainkan menjalani rawatan ini atau menjalani pemindahan buah pinggang.  Pilihan kedua amat sukar kerana perlukan penderma buah pinggang dan penderma pula sukar untuk ditemui.

Menjalani hemodialisis pun ada kesannya tetapi berbeza-beza ke atas setiap pesakit.

“Kadang-kadang tekanan darah jadi rendah, kadang-kadang jadi tinggi, kadang-kadang kaki kejang, kadang-kadang badan lemah.  Semuanya bergantung kepada tekanan darah, kalau darah stabil, akan ok,” kata beliau.

Laila mengakui pada awalnya beliau amat payah untuk menyesuaikan hidup dengan ‘norma baharu pesakit buah pinggang’ ini, terutama apabila terpaksa berulang-alik untuk menjalani dialisis dan ini amat mengganggu urusan harian.

“Saya terpaksa berhenti kerja kerana majikan enggan bertolak-ansur untuk memindahkan saya ke bahagian yang tidak terlalu sukar untuk saya bertugas,” kata Laila yang kini giat mengusahakan perniagaan makanan secara atas talian.

Selain itu, mereka yang menghidap masalah buah pinggang juga harus berpantang banyak jenis makanan terutama makanan tinggi fosforus, potasium serta sodium serta  mengawal pengambilan air bagi mengelak komplikasi seperti bengkak pada kaki, tangan dan muka.

Selepas mengalami pengalaman-pengalaman yang tidak begitu menyenangkan ini, Laila menasihati orang lain yang masih sihat agar memberi penekanan kepada pemakanan sihat dan gaya hidup sihat.

“Tetapi jika sudah menjadi penghidap penyakit tekanan darah tinggi, mesti ambil ubat ikut masa yang ditetapkan doktor.  Bagi pesakit kencing manis pula, pastikan kadar gula dalam darah sentiasa stabil, ambil ubat ikut masa dan pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya sekali setahun,” tambah beliau.

Oleh Haini Darani