Fokus kecergasan, taktikal

YAKIN…Pengurus Pasukan, Hafi sz Rachman Drahman (kanan) ketika bercakap pada sidang media di Kuching, semalam.

PENGURUS Skuad Tinju Sukma Sarawak, Hafisz Rachman Drahman mengakui tiada masalah buat para petinju untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti yang ditetapkan sepanjang menjalani latihan.

Menurut beliau, kesemua para petinju sudah dimaklumkan berhubung perkara itu dalam usaha memastikan keselamatan kepada semua pihak berikutan keadaan situasi negara yang masih belum selamat sepenuhnya ekoran musibah penularan virus Covid-19.

“Kita percaya tiada masalah bagi petinju untuk mematuhi SOP ditetapkan. Langkah tersebut adalah perlu bagi memutuskan rantaian penularan virus berbahaya itu,” katanya pada sidang media di salah sebuah hotel terkemuka di Kuching, semalam.

Hadir sama, Presiden Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA), Dato Rahman Lariwoo.

Hafisz menegaskan, semua petinju akan menjalani latihan penuh bermula Julai nanti yang lebih menjurus kepada pembinaan kembali tahap kecergasan dan taktikal.

“Latihan secara tempur (bersentuhan) masih belum dibenarkan dan sebab itu kita terpaksa fokus kepada latihan membina kecergasan serta taktikal sahaja,” tambah beliau.

Beliau turut berharap perkeliling terbaru akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat ini bagi membolehkan latihan secara bersentuhan dapat dilaksanakan untuk para petinju.

Sembilan petinju terbaik menjadi pertaruhan SABA bagi menghadapi Temasya Sukan Malaysia  (SUKMA XX Johor) 2020 yang dijadualkan berlangsung 6 hingga 14 Mac 2021.

Petinju terbabit ialah Dealoniel Mcdelon Bong (60kg) yang juga merupakan penyumbang pingat emas ketika SUKMA 2018 di Perak.

Turut berada dalam senarai ialah Christyuden Ripoh (69kg) dan Wilson Berayin Sumbang (56kg) yang juga penyumbang pingat gangsa dua tahun lepas.

Enam lagi petinju ialah iaitu Jackson Chambai Ikeh (49kg), Muhammad Syawal  Mohammad Isham (52kg), Mohd. Jamani Abdullah (64kg), Abdul Hakim Abdullah (75kg), Rais Arsyad Sulam (81kg) dan Hellary Hendry (91kg).

Oleh Faizal Bujang