Masih tunggu jawapan

PENYELARAS…Mathew Chin

PENYELARAS Kontinjen Para SUKMA Sarawak, Mathew Chin Hiong Choi memberitahu pihaknya masih dalam proses mengatur jadual bagi persiapan latihan atlet yang terlibat dengan Sukan Para SUKMA 2020.

Katanya, langkah awal yang bakal dilaksanakan ketika ini ialah berhubung rapat dengan pihak Perbadanan Sukan Sarawak (SSC).

“Kita masih mengatur dengan lebih terperinci jadual dengan kerjasama pihak SSC. Apa yang pastinya, kita menunggu arahan atau kebenaran daripada mereka untuk membolehkan atlet berlatih,” ujar Mathew.

Dalam perkembangan sama, pihaknya turut bercadang menghimpunkan semua atlet di satu lokasi sahaja untuk sesi latihan.

Ia mengambil contoh di kemudahan kolam renang (Pusat Akuatik Pandelela Rinong), Pusat Gimnasium di Stadium Sarawak serta balapan atau trek yang terdapat di Stadium Sarawak yang boleh digunkan secara serentak pada satu masa bagi sesi latihan walaupun dalam acara sukan berbeza.

“Ia akan memudahkan kita membawa atlet secara serentak ke pusat latihan,” tambah Mathew yang turut mengakui setakat ini ada kalangan atlet dari beberapa acara sukan yang sudah berlatih.

Sarawak berada pada kelas tersendiri dalam temasya dwitahunan itu apabila muncul juara sebanyak 13 kali untuk tempoh 26 tahun bermula 1994, 1996, 1998, 2000, 2002, 2004, 2006, 2008, 2010, 2012, 2014, 2016 dan 2018.

Oleh Faizal Bujang