Maritim tahan bot nelayan asing

SEBUAH bot nelayan asing yang ditahan di perairan negeri Sarawak.

TANJUNG MANIS: Zon Maritim Tanjung Manis berjaya menahan sebuah bot nelayan asing di perairan negeri Sarawak di sini pada dua hari lepas kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 ketika diperiksa.

Laksamana Pertama Maritim Robert Teh Geok Chuan menerusi satu kenyataan media semalam berkata, menerusi operasi yang dijalankan di perairan negeri Sarawak pada 26 Jun yang lalu, sebuah bot nelayan asing dikesan menjalankan aktiviti menangkap ikan pada jarak lebih kurang 119 batu nautika dari utara Tanjung Sirik.

“Seramai lima (5) orang kru termasuk tekong merupakan warga Indonesia telah diperiksa. Siasatan lanjut mendapati tekong dan kesemua awak-awak gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri. Kesemua yang ditahan berumur lingkungan antara 25 hingga 37 tahun telah dibawa ke Jeti Terminal Penumpang Tanjung Manis.

“Sebaik tiba di jeti, ujian saringan Covid-19 dijalankan ke atas kesemua yang ditahan oleh Pegawai Kesihatan Pelabuhan Tanjung Manis.

“Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Tambahnya, Maritim Malaysia sentiasa berusaha meningkatkan kawalan keselamatan dan rondaan operasi penguatkuasaan undang-undang di zon perairan negara ini bagi memastikan keselamatan kapal dan bot yang berada di perairan negara terjamin dan mematuhi undang-undang.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti mencurigakan di perairan supaya menghubungi 999 atau pusat operasi Maritim Malaysia negeri Sarawak ditalian 082-432544 yang beroperasi 24 jam.