Dasar kuarantin penuh dikekalkan

UGGAH menjawab soalan media ketika mengadakan ‘walkabout’ bagi menyaksikan pelaksanaan COVIDTrace di sekitar AEON MALL Kuching Central di Kuching semalam.

KUCHING: Sarawak tetap mengekalkan dasar kuarantin penuh selama 14 hari bagi rakyat yang kembali ke negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menegaskan, dasar yang menetapkan sekembalinya seseorang individu dari luar atau dalam negara harus dikuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin atau hotel kekal.

“Di KL (Kuala Lumpur) sekarang rakyat Malaysia balik dari luar negara cuma akan diambil ujian RTK (Rapit Test Kit) selepas itu (menjalani) kuarantin di rumah sendiri.

“Tetapi Sarawak masih mensyaratkan mana-mana warga negeri ini yang balik dari luar negara mesti di kuarantin penuh,” tegasnya.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan Walkabout bagi menyaksikan pelaksanaan COVIDTrace di sekitar AEON MALL Kuching Central di sini semalam.

Uggah mengakui dasar kuarantin penuh yang ditetapkan oleh Kerajaan Sarawak itu berupaya membantu Sarawak mengesan kes-kes positif sebelum ini.

“Kalau tidak (kuarantin penuh) dan individu berkenaan hanya menjalani kuarantin di rumah, kita tidak tahu ke mana dia akan pergi,” ujarnya dan menegaskan, keadaan berkenaan akan menggugat masyarakat lagi.

Beliau merujuk beberapa kes sebelum ini berkaitan beberapa individu baharu pulang dari Mexico ke Bintulu dan seorang rakyat yang balik dari Tunisia telah positif sebelum ini pernah membohongi pihak berwajib.

“Nasib baik kita kekalkan dasar kuarantin penuh mereka selama 14 hari,” ujarnya sambil mendedahkan segelintir keluarga merasakan tidak wajar tindakan kuarantin penuh berkenaan.

Uggah bertegas lagi dasar berkenaan adalah demi menjaga keselamatan dan kesihatan ahli keluarga individu berkenaan juga. Terdahulu Uggah diiringi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Sri Sim Kui Hian mengunjungi premis-premis di dalam AEON Mall untuk melihat sendiri pelaksanaan aplikasi COVIDTrace diamalkan di pusat membeli-belah tersebut.

Oleh Diyana Samsuddin