PBB sedia pertahankan kerusi Parlimen Petra Jaya

ZIARAH… Dato’ Sri Fadillah Yusof menziarahi keluarga Shamsu Kawi di Jalan Layang-Layang, Lorong Cenderawasih, Kampung Semerah Padi, Petra Jaya yang kehilangan tempat tinggal selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran baru-baru ini.

KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sudah bersedia mempertahankan kerusi Parlimen Petra Jaya.

Naib Yang Dipertua Kanan PBB, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, berkemungkinan sebanyak enam parti politik berminat bertanding di Parlimen Petra Jaya yang dikuasai PBB sekiranya diadakan Pilihan Raya Umum Ke-15.

“Banyak parti politik meletakkan calon bertanding di kawasan itu dan saya terima ia sebagai demokrasi.

“Hal ini kerana, siapa sahaja layak bertanding di Parlimen Petra Jaya,” katanya selepas melawat mangsa rumah terbakar di Kampung Semerah Padi, kelmarin.

Ujar Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu lagi, pihaknya di peringkat GPS berkhidmat kepada rakyat selama ini bukan disebabkan menjelangnya pilihan raya.

“Khidmat kepada rakyat adalah ikrar dan komitment kita kepada rakyat, sebab itu usaha kita untuk memberi terbaik kepada rakyat dan negeri kita,” ujarnya.

Jelasnya, antara infrastruktur ketara yang dibangunkan demi rakyat adalah jalan raya.

“Dahulu ada kawasan hanya ada jalan kecil atau jalan tanah tetapi kini ada jalan besar dan berturap malah, peratusan kawasan tiada bekalan air dan elektrik juga berkurangan,” katanya.