Kualiti pendidikan agenda utama – Rentap

PERASMIAN… Rentap melakukan Majlis Simbolik Penyerahan Buku Rujukan SPM/ SVM kepada pengetua sekolah masing-masing di Betong.

BETONG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Gerald Rentap Jabu berjanji akan terus membantu dalam aspek pendidikan di kawasannya.

Beliau memberitahu, ia dilakukan dengan mengadakan pelbagai program bagi mempertingkatkan kualiti pendidikan di sekolah-sekolah terutamanya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Layar.

“Saya akan bantu apa sahaja program yang memberi manfaat bagi meningkatkan kualiti pendidikan pelajar di DUN Layar ini khasnya,” katanya.

Kata Rentap, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa komited untuk menaik taraf serta memperbaiki sistem pendidikan di negeri ini dengan tidak meminggirkan mana-mana sekolah termasuk sekolah di kawasan luar bandar seperti di DUN Layar.

Menurutnya, sekolah di luar bandar perlu diberikan bantuan dan kemudahan setara dengan sekolah di bandar, bagi membantu proses pengajaran dan pembelajaran.

Beliau menegaskan bantuan dan kemudahan itu akan membantu pelajar sekolah luar bandar mencatat prestasi lebih cemerlang dalam peperiksaan utama.

“Ketika ini pelajar di luar bandar juga mempunyai potensi cukup besar seperti pelajar di bandar.

“Tidak seharusnya dinafikan hak sekolah di luar bandar ini untuk memperoleh kemudahan pengajaran dan pembelajaran serta kemudahan yang setaraf di bandar.

“Ini kerana pelajar di luar bandar juga mempunyai potensi yang besar bagi memperoleh ilmu dan kaedah pembelajaran yang baharu,” ujarnya.

Beliau menarik perhatian ketika ini ada sesetengah sekolah luar bandar yang mencatatkan prestasi jauh lebih cemerlang dari sekolah di bandar dan pinggir bandar.

“Kerajaan GPS akan terus membela dan memperjuangkan nasib rakyat di negeri ini dan saya komited dengan menitikberatkan aspek pendidikan terutamanya di DUN Layar terus diambil perhatian,” katanya selepas melakukan Majlis Simbolik Penyerahan Buku Rujukan kepada pengetua sekolah masing-masing di sini, kelmarin.

Pada majlis itu, seramai 592 pelajar Tingkatan 5 dari lima sekolah menengah di daerah ini yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) pada tahun hadapan menerima sumbangan buku rujukan.

Rentap memberitahu sumbangan itu merupakan inisiatif meringankan beban ibu bapa, selain motivasi untuk meningkatkan usaha, seterusnya berjaya dalam peperiksaan.

“Saya amat berterima kasih kepada pasukan Pusat Khidmat Adun Layar, Jawatankuasa Pembangunan Pendidikan Layar, Pejabat Pendidikan Daerah Betong serta rakan strategik Pelangi Publishing Group yang menerbitkan buku rujukan tersebut.

Dengan kolaborasi yang mantap itu, tahun ini kita dapat membantu 592 pelajar dari SMK Saint Augustine, SMK Datuk Patinggi Kedit, SMK Ulu Layar, Kolej Vokasional Betong dan Maktab Rendah Sains Mara Betong.

“Saya berharap buku rujukan ini dapat dimanfaatkan, sekali gus meningkatkan prestasi pelajar kita ketika menduduki peperiksaan kelak,” katanya.

Jelasnya, semua buku rujukan yang dibekalkan berdasarkan mata pelajaran yang diambil. Rentap turut mengingatkan semua pelajar untuk cepat mengadaptasi pembelajaran dalam norma baharu di sekolah.

Oleh Adi Safarman