Terokai produk pelancongan luar bandar

SANTAI… Dato’ Sri Nancy Shukri bersama Dr. Noor Zari serta rombongan Pengurusan Tertinggi MOTAC bersantai di meja makan utama pada Majlis Makan Malam di sebuah hotel terkemuka semalam.

KUCHING: Produk pelancongan luar bandar diterokai untuk membolehkan pengoperasian semula sektor pelancongan domestik bermula pada bulan ini.

Hasrat itu kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Sri Nancy Shukri berikutan pengiktirafan dunia terhadap kejayaan Malaysia mengawal penularan wabak Covid-19, memberi isyarat bahawa negara ini adalah negara yang selamat dan berada dalam lingkungan zon hijau.

“Justeru, adalah menjadi harapan dan aspirasi saya agar potensi pelancongan seperti ini diterokai dan dibangunkan bukan sahaja di Batang Sadong tetapi juga di semua kawasan luar bandar di negara ini bagi mencari produk pelancongan yang baharu serta berasaskan nilai sejarah, eko dan agro pelancongan,” katanya.

Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong berkata demikian pada Majlis Makan Malam Bersama Pengurusan Tertinggi (MOTAC) Dan Ketua Jabatan dan Agensi Di Bawah Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya Malaysia (MOTAC) di sebuah hotel terkemuka, Jumaat lalu.

Mengakui kejayaan Malaysia itu sebagai lampu hijau kepada industri pelancongan domestik, kata Nancy, ia sekali gus memberi nafas lega kepada rakyat di negara ini, terutamanya penggiat industri pelancongan, seni, budaya dan warisan untuk merancakkan semula aktiviti pelancongan seni dan budaya yang terjejas ketika tempoh pelaksanaan PKP dan PKPB yang lalu.

“Oleh sebab itulah, kita perlu memulakan tugas kita dengan cepat tanpa lengah kerana kita perlu memastikan Malaysia mampu menjadi ‘the first-mover’ pasca PKP dan PKPB bagi merancakkan dan menyemarakkan semula industri pelancongan domestik, seni dan budaya.

“Seperti yang telah saya nyatakan kepada warga MOTAC semasa Sesi Penyampaian Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) MOTAC bagi tahun 2019, MOTAC perlu menonjolkan diri dengan lebih ke hadapan seiring dengan sebutan MOTAC yang saya beri iaitu, ‘More To Act’.

“Oleh itu, semua kita yang ada di sini malam ini, mempunyai tanggungjawab dan amanah yang amat besar dalam memastikan matlamat, misi dan visi MOTAC bukan sahaja di atas kertas, tetapi dilaksanakan dengan jayanya,” ujarnya.

Terdahulu pada sebelah siangnya, Nancy membawa rombongan Pengurusan Tertinggi MOTAC mengunjungi beberapa kawasan potensi pelancongan di sekotar Gedong dan Batang Sadong.

Menurut Nancy, lawatan secara ‘marathon’ sehari itu bermula dari Galeri Songket Gedong kemudiannya menuju ke Gunung Ngeli dan seterusnya tapak projek Dewan Warisan Kebudayaan Batang Sadong bersebelahan Jambatan Batang Sadong.

Turut hadir, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato’ Dr. Noor Zari Hamat.

Oleh Diyana Samsuddin