Atlet Program Podium bersedia jalani latihan

REEZAL MERICAN NAINA MERICAN

SEMUA atlet Program Podium dan Program Pelapis Kebangsaan kini boleh bersiap sedia susulan kebenaran untuk berlatih di Majlis Sukan Negara (MSN) secara berperingkat bermula 5 Julai ini.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS), menerusi kenyataan, berkata, menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican telah memberi persetujuan kepada MSN untuk memulakan semula latihan harian sepenuh masa bagi semua atlet di bawah program berkenaan.

Bagaimanapun, mereka perlu mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sebelum ini hanya 57 atlet elit di bawah program Road to Tokyo (RTT) diberikan kebenaran untuk berlatih bermula 1 hingga 30 Jun ini secara kuarantin dengan SOP yang ketat.

Selepas semua latihan RTT berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah besar setakat ini, ia meyakinkan KBS, MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) untuk membuka ruang kepada lebih ramai atlet kembali meneruskan latihan di MSN.

Semua atlet berkenaan dihantar pulang sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 18 Mac lepas.

Berikutan itu, seramai 539 atlet dan 142 jurulatih di bawah program RTT, Podium dan Pelapis Kebangsaan akan dipanggil balik untuk menjalani latihan harian secara sepenuh masa di pusat latihan yang ditetapkan, iaitu di Kompleks MSN Bukit Jalil, Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara; Kompleks Sukan MSN, Keramat; dan Pusat Pelayaran Nasional, Langkawi.

Bagi sukan para pula, seramai 135 atlet dan 31 jurulatih daripada program RTT dan Podium akan diminta melapor diri ke Pusat Kecemerlangan Paralimpik, Kampung Pandan pada 5 Julai ini.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Ketua Pengarah MSN,┬áDatuk Ahmad Shapawi Ismail menjelaskan semua atlet yang mendaftar masuk ke pusat latihan, perlu menjalani ujian kesihatan ketika pendaftaran selain menjalani kuarantin selama dua hari sementara menunggu keputusan, sebelum boleh memulakan rutin seperti biasa.–Bernama