Zharmien ‘tonik’ baharu Sarawak

BERPENGALAMAN…Zharmien Ashraf.

BINTANG sensasi skuad Piala Belia Kedah 2020, Mohd. Zharmien Ashraf Ismail antara pemain baharu yang diserap ke dalam skuad bola sepak SUKA Sarawak.

Ia sekali gus dapat menambah tonik di jentera serangan skuad kendalian Ahmad Fairuz Mohd. Yunus dalam menghadapi temasya dwitahunan yang akan berlangsung di Johor bermula 6 hingga 14 Mac 2021.

“Belia (Mohd. Zharmien Ashraf Ismail) adalah muka baharu yang diserap dalam skuad ini.Dia merupakan penyerang skuad Piala Belia Kedah musim ini,” jelas Ahmad Fairuz.

Menurut beliau, penyerang muda kelahiran Kampung Iboi Ulu, Sadong Jaya itu berpotensi untuk menghadirkan sesuatu yang diharapkan.

Katanya, kredibilitinya begitu menyerlah sepanjang bersama skuad pelapis ‘helang merah’ musim ini.

Tambah beliau, para pemain akan memulakan sesi latihan pada 1 Julai nanti berpandu kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Sepanjang bergelumang dalam dunia bola sepak, bintang yang terkenal dengan kekuatan kaki kirinya itu pernah memenangi tiga anugerah berprestj (Pemain Terbaik Kejohanan Zon Sarawak 2018, Pemain Terbaik Perlawanan Akhir dan Penjaring Terbanyak) semasa Kejohanan Bola Sepak Remaja Allianz Zon Sarawak 2018. Selain itu, dia pernah mengikuti latihan pusat akhir ‘Kem Bola Sepak Remaja Allianz (AJFC) Malaysia 2018’ di Kuala Lumpur.

Oleh Faizal Bujang