Tukun tiruan Sarawak terpanjang di dunia

TURUN PADANG… Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyaksikan sendiri kerja menanam bebola tukun tiruan di sepanjang perairan Muara Tebas ke Sebuyau, dekat Kuching semalam.

MUARA TEBAS: Bebola tukun tiruan yang ditanam di perairan Sarawak berjaya mengembalikan pantai negeri ini menjadi lokasi pendaratan penyu belimbing selepas tujuh tahun menghilang.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata pendaratan haiwan terancam itu kembali ke Taman Negara Samilajau, Bintulu membuktikan kejayaan inisiatif projek tukun tiruan kerajaan.

“Perairan (Taman Negara Samilajau, Bintulu) itu juga telah berjaya membiakkan semula terumbu karang semulajadi tumbuh dari 10 hingga 12 cm dalam masa dua tahun.

“Kalau tiga tahun ia membesar sehingga 20 hingga 40 cm. Ini sudah tentu membantu kita memperbaiki ekosistem di perairan negeri ini,” katanya.

Abang Johari berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan penanaman bebola tukun tiruan, satu projek oleh Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) di Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Muara Tebas, di sini semalam.

Menurut Abang Johari, Sarawak kini memegang rekod mempunyai tukun tiruan terpanjang di dunia yang dibangunkan melalui ‘Projek Rakyat’ melalui dana RM70 juta untuk menanam 17,200 unit bebola tukun tiruan di perairan pantai Sarawak dari Tanjung Datu di Bahagian Kuching hingga ke Lawas dari tahun 2019 hingga 2021.

“Perairan pantai Sarawak sepanjang lebih 1000 kilometer dengan keluasan 18.6 juta hektar mempunyai kepelbagaian hidupan marin yang tinggi.

“Kita ada ekosistem terumbu karang, hutan bakau, dataran lumpur, hamparan rumput laut dan pantai berpasir yang luas.

“Ekosistem ini adalah habitat penting bagi haiwan terlindung di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 seperti penyu, lumba-lumba, paus, dugong, beluku dan banyak lagi,” ujarnya.

Terdahulu Abang Johari menyaksikan sendiri penanaman sebanyak 1,200 bebola tukun tiruan ditanam di sepanjang Perairan Muara Tebas ke Sebuyau, semalam.

Beliau mengakui penanaman itu akan memberi faedah secara langsung kepada nelayan di kawasan terbabit kerana tukun tiruan itu bukan sahaja mewujudkan habitat untuk ikan malah dapat melindungi habitat pembiakan hidupan laut daripada ancaman aktiviti dan amalan perikanan yang memudaratkan ekosistem persisiran laut seperti aktiviti pukat tunda haram.

“Disebabkan itu, jumlah tangkapan ikan akan bertambah, hasil pendapatan penduduk tempatan juga akan semakin bertambah, maka, ini akan meningkatkan taraf hidup rakyat,” katanya lagi.

Malah kata Abang Johari usaha memulihara ekosistem dan hidupan liar di perairan Sarawak juga bertujuan membolehkan laut di negeri ini diwujudkan kawasan selaman aktiviti skuba dan sukan memancing untuk tarikan eko-pelancongan.

“Hari ini kita tanam di Muara Tebas ke Sebuyau selepas ini kita akan tanam di Daro,” jelasnya dan yakin akan lebih banyak hidupan liar dalam laut akan membiak atas inisiatif berkenaan.

Hadir sama Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Oleh Diyana Samsuddin