Dua lelaki diberkas pecah masuk rumah burung walit

RAMPAS … Barangan yang dirampas daripada suspek.

KUCHING: Polis berjaya memberkas dua suspek lelaki warga tempatan yang terlibat kes pecah masuk dan curi di rumah burung walit yang terletak di KM25, Jalan Bako.

Dalam kejadian tersebut, pengadu lelaki tempatan telah menyedari bahawa rumah burung walit yang diusahakannya telah dicerobohi apabila melihat melalui kawalan jauh berkamera televisyen litar tertutup ( CCTV ) kelmarin jam lebih kurang 5.15 pagi dirumahnya.

Menyedari pencerobohan kedua-dua suspek , pengadu kemudiannya terus bergegas ke lokasi kejadian dan pada masa sama menghubungi pihak polis untuk bantuan.

Seorang suspek lelaki tempatan berusia 20-an telah berjaya diberkas manakala rakan sejenayahnya berjaya melarikan diri.

Semakan rekod suspek menunjukkan suspek mempunyai tiga rekod jenayah.

Semasa tangkapan dilaksanakan, suspek mengalami sedikit kecederaan akibat terjun daripada bangunan rumah burung tersebut.

Bagaimanapun tiada kecederaan serius dan suspek telah dibawa ke Hospital Umum untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Ujian saringan air kencing suspek pertama positif dadah Methaphatamine.

Suspek direman selama lima hari untuk siasatan lanjut.

Dalam pada itu, tangkapan suspek kedua, dalam 30-an dibuat melalui maklumat risikan Jabatan Siasatan Jenayah Kuching yang telah berjaya mengesan dan menangkap suspek pada pagi ini.

Tangkapan dibuat di sebuah rumah tidak bernombor di kawasan Bako Kuching.

Turut dirampas adalah pakaian yang digunakan semasa melakukan kejadian pecah masuk dan curi rumah burung Walit tersebut.

Semakan rekod mendapati tangkapan suspek kedua mempunyai tujuh rekod jenayah dan kesemuanya melibatkan jenayah harta benda.

Ujian saringan awal air kencing suspek kedua juga didapati positif dadah Methaphatamine.

Suspek kedua akan direman di Mahkamah Majistret Kuching pada kesesokan hari

Kes disiasat dibawah seksyen 457 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan akan dihukum penjara lima tahun sehingga boleh dilanjutkan kepada 14 tahun atau denda dan sebat jika sabit kesalahan.