Jenazah mendiang Kavin Raj selamat tiba di Kedah

PENGHORMATAN TERAKHIR… Anggota APMM mengangkat jenazah mendiang Kavin Raj
Multy ke tanah perkuburan.

BINTULU: Jenazah Laskar Kelas II Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Kavin Raj Multy, yang meninggal dunia dalam nahas kemalangan jalan raya di Bintulu, Jumaat lalu selamat tiba di kediaman bapanya di Sungai Petani, Kedah, samalam.

Pemangku Pengarah Zon Maritim Bintulu, Komander Maritim Effendy Mohamed Fadil berkata, mayat mendiang disempurnakan dalam satu istiadat penghormatan terakhir oleh anggota dan pegawai Maritim Zon Bintulu.

“Jenazah dihantar pulang menggunakan perkhidmatan Mas Kargo dari Lapangan Terbang Miri pada jam 2.50 petang dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 6.30 petang,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Menurutnya, jenazah mendiang tiba dikediaman bapanya pada jam 1.00 pagi.

Katanya, jenazah diiring Pasukan Kawalan Jenazah dengan penuh penghormatan sebelum diserahkan kepada waris bagi urusan pengurusan jenazah mendiang mengikut agama yang dianutinya.

“Setibanya di lokasi, suasana pilu menyelubungi kediaman, apabila ahli keluarga termasuk bapa mendiang, Multy Maraiappan, 51, tidak dapat menahan sebak melihat kenderaan membawa jenazah memasuki kediaman,” katanya.

Tambahnya, ia merupakan satu kehilangan besar kepada agensi kerana mendiang merupakan seorang anggota yang berdedikasi dan berdisiplin sepanjang bertugas.

Dalam pada itu beliau, mewakili pihak Maritim Malaysia, khususnya Zon Maritim Bintulu mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa atas kejadian terbabit.

Sementara itu, beliau menyeru saksi awam yang melihat kejadian untuk tampil dalam membantu polis menjalankan siasatan lanjut berhubung kemalangan yang menimpa mangsa semasa kejadian.

Oleh Ellie Edward