Pengusaha bot tambang diberi taklimat

UTAMAKAN KESELAMATAN… Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin menyerahkan jaket keselamatan kepada Mohamad Abu Bakar yang juga peserta program keselamatan dan kebersihan sungai di Limbang.

LIMBANG: Kementerian Pengangkutan Sarawak sudah memberi maklumat mengenai cara untuk memohon lesen dan permit bagi pengusaha bot tambang di Limbang.

Menurut Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin, satu ceramah kesedaran telah diadakan semalam kepada pengusaha bot tambang di bandar ini mengenai aspek keselamatan ketika mengendalikan bot masing-masing.

Beliau menyatakan demikian pada majlis penutupan ceramah keselamatan pengusaha bot tambang di Limbang semalam.

Seterusnya, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) telah mengadakan kempen pendidikan dan kesedaran awam secara berterusan berkaitan kepentingan keselamatan pengangkutan sungai dan kebersihan sungai di seluruh Sarawak sejak penubuhannya.

Lee melihat aspek kesedaran terhadap keselamatan pengangkutan sungai penting kerana pengangkutan sungai masih merupakan mod pengangkutan yang penting di Sarawak.

Ini memandangkan sistem jalanraya dan infrastruktur seperti jambatan yang menghubungkan kampung, penempatan di kawasan pendalaman mahupun pinggiran pantai belum lengkap sepenuhnya.

Selain itu, bagi sesetengah kawasan, pergerakan menggunakan pengangkutan sungai lebih cepat berbanding jalanraya.

Oleh itu, jumlah pengguna pengangkutan ini akan bertambah pada musim perayaan dan dijangka berkekalan untuk beberapa tahun akan datang atas faktor keselesaan dan tempoh masa perjalanan yang singkat.

Manakala, kesedaran awam terhadap kebersihan sungai di kalangan masyarakat umum amat mustahak kerana sungai merupakan antara aset yang paling penting kepada semua.

Tanggungjawab semua pihak penting dalam memastikan kebersihan sungai-sungai di Sarawak terus berada pada tahap selamat.