Tingkat kesedaran penjagaan alam sekitar

SOKONG… Datuk Lee Kim Shin (dua, kanan) sambil disaksikan Presiden Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) Andy Jong (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Pengerusi Pengelola Choa Yee Hui (tiga dari kanan) untuk melaksanakan Ops Pukat Jaring Hantu di Taman Negara Marin Miri-Sibuti bersempena dengan Hari Sarawak pada 22 Julai akan datang.

MIRI: Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) akan menganjurkan program pembersihan terumbu karang, Ops Pukat Jaring Hantu di Taman Negara Marin Miri-Sibuti bersempena dengan Hari Sarawak pada 22 Julai akan datang.

Penganjuran program kali ketiga itu mendapat sokongan daripada Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin yang mana beliau turut menyumbang RM5,000.00 untuk tujuan tersebut.

Pengerusi pegelola Choa Yee Hui berkata, program yang telah dijadualkan pada 19 April sebelum ini, disebabkan untuk mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan terpaksa ditundakan ke tarikh baharu iaitu 22 Julai ini.

“Kami akan memastikan segala Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan dipatuhi dan mengehadkan jumlah peserta iaitu tidak melebihi 30 orang,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Choa berkata, program tersebut diadakan bertujuan bagi melindungi kehidupan marin dan kebersihan dasar laut di perairan Miri.

Program itu dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 6 Miri, Co.Co Dive Miri, Borneo Ghost Nets Hunter, Future Ocean Borneo dan Sarawak Forestry Corporation.

Pada tahun lepas, penganjuran dua kali program operasi pembersihan terumbu karang itu berjaya membersihkan sebanyak 330 kilogram pukat hantu.

Sementara itu, Presiden NSJA, Andy Jong Wan Joon memberitahu tujuan NSJA menganjurkan program itu untuk mengambil langkah mempertingkatkan kesedaran awam terhadap penjagaan alam sekitar, khususnya membersihkan pukat hantu dan sisa-sisa sampah di kawasan dasar laut taman negara marin itu.

“Taman Negara Marin Miri-Sibuti telah dikenal pasti berdepan ancaman sisa pukat yang serius serta dikhuatiri boleh menjejaskan kehidupan marin di kawasan berkenaan.

“Justeru, kita tidak boleh membiarkan ancaman ini merosakkan alam sekitar kita dan keindahan di dasar laut, sebaliknya ia perlu dipulihara, bukan sahaja untuk kelangsungan taman laut kita tetapi juga untuk industri pelancongan kita,” katanya.