18 polis mengundi awal hari ini

KETUA Tempat Mengundi Pusat Pengundian Awal Wan Hanis Sofi ana Wan Mohd Noor memasang tempat mengundi ketika tinjauan undi awal Pilihan Raya Kecil (PRK) N.23 Chini di Balai Polis Chini Pusat Bandar DARA Chini semalam.•Foto BERNAMA

PEKAN: Seramai 18 pengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, melibatkan anggota polis mengundi hari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun dalam satu kenyataan semalam berkata, semua anggota terbabit akan mengundi di Bilik Maklumat, Balai Polis Chini.

Katanya pusat pengundian awal akan dibuka bermula pukul 8 pagi sehingga 12 tengah hari.

“Sepanjang proses undi awal ini, pematuhan kepada garis panduan pencegahan Covid -19 yang berkuatkuasa seperti jarakan sosial, amalan pemakaian pentup hidung dan mulut, penggunaan cecair pembasmi kuman dan sarung tangan, serta saringan suhu badan, akan dilaksanakan,” katanya.

Ujarnya proses pengundian awal itu akan turut disaksikan ejen calon dan Pemerhati Pilihan Raya yang dilantik SPR, selain disiarkan secara langsung atau live streaming di Facebook SPR.

Beliau berkata, semua peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap balai polis dan pengiraannya akan dibuat pada hari pengundian, 4 Julai, di pusat pengiraan undi di Bilik Maklumat, Balai Polis Paloh Hinai.

PRK DUN Chini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain, 41, dan dua calon Bebas Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.

Daftar pemilih bagi PRK DUN Chini mengandungi 20,990 pengundi yang terdiri daripada 20,972 pengundi biasa dan 18 pengundi awal polis. — Bernama