Pusat hemodialisis bakal dibina di Chini

TINJAU… Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba (kiri) ketika meninjau kelengkapan yang disediakan di Klinik Kesihatan Chini semasa melakukan lawatan di Klinik Kesihatan Chini Pusat Bandar Dara Felda Chini semalam. • Foto BERNAMA

PEKAN: Kementerian Kesihatan (KKM) akan memberi keutamaan untuk melihat semula sistem pendawaian di hospital di seluruh negara bagi mengelak kejadian kebakaran seperti yang berlaku di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, Ahad lepas.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, beberapa peruntukan juga telah diluluskan bagi tujuan berkenaan.

“Kita memberi keutamaan untuk melihat sistem pendawaian di seluruh negara dan kita dah lulus beberapa peruntukan penting untuk kita lihat perkara itu… ada beberapa keutamaan yang kita akan berikan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Klinik Kesihatan Chini dekat sini, semalam, sebagai mengulas mengenai kebakaran yang berlaku di Wad Perubatan Perempuan 1, HSA Ahad lepas.

Kejadian kira-kira pukul 3.00 petang itu tidak mengakibatkan sebarang kematian kerana kesemua 24 pesakit yang berada di wad berkenaan berjaya diselamatkan hasil tindakan pantas petugas di hospital itu.

Sebelum ini, HSA pernah mengalami kebakaran pada Oktober 2016 melibatkan tingkat dua unit rawatan rapi (ICU) selatan yang mengakibatkan enam pesakit maut.

Sementara itu, Dr Adham turut merafak sembah terima kasih kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar atas perkenan untuk membiayai kos membaik pulih wad HSA yang terbakar itu.

“Kalau mengikut proses KKM mungkin mengambil masa yang lama dan mengikut titah Tuanku, tiga pihak iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kerja Raya, dan KKM akan duduk serta menyiapkan pelan yang terbaik.

“Saya sendiri telah melawat kawasan itu semalam dan ada sedikit sebanyak yang perlu dibuat. Keseluruhan kompleks itu perlu dilakukan pendawaian semula dan tambah baik ruang penempatan pesakit,” katanya.

Sultan Iskandar dalam akaun Facebook rasmi baginda bertitah berkenan untuk membiayai kos membaik pulih wad yang terbakar itu dan akan melantik kontraktor bagi membolehkan kerja pembaikan dimulakan segera.

Baginda turut bertitah segala kos berkenaan akan ditanggung sepenuhnya oleh Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ). — Bernama