Dipilih semula LIAM bagi penggal 2020/2021

KUALA LUMPUR: Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) telah memilih semula Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Hong Leong Assurance Bhd, Loh Guat Lan sebagai Presidennya dan CEO Gibraltar BSN Life Bhd, Rangam Bir sebagai Naib Presidennya untuk penggal 2020/2021.

Dalam kenyataan, LIAM berkata ahli jawatankuasa lain ialah CEO AIA Bhd; Ben Ng, CEO AmMetLife Insurance Bhd; Ramzi Toubassy, CEO Etiqa Life Insurance Bhd; Paul Low Hong Ceong, CEO Great Eastern Life Assurance (Malaysia) Bhd; Datuk Koh Yaw Hui, CEO Prudential Assurance Malaysia Bhd; Gan Leong Hin, CEO Sun Life Malaysia Assurance Bhd; Raymond Lew Yung Chow dan CEO Tokio Marine Life Insurance Malaysia Bhd; Toi See Jong.

Katanya, industri telah berbincang secara proaktif dengan Bank Negara Malaysia dan kerajaan untuk melaksanakan pelbagai langkah dan inisiatif bantuan berikutan pandemik Covid-19.

“Industri telah mewujudkan Dana Ujian Covid-19 bernilai RM8 juta untuk menyokong usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan menjalankan lebih banyak ujian Covid-19 untuk rakyat Malaysia dan industri turut memberikan jaminan tanpa luput selama tiga bulan kepada pemegang polisi yang terjejas oleh pandemik ini,” katanya.

Menurut persatuan itu, syarikat insurans akan terus memberikan perlindungan insurans kepada pemegang polisi yang terjejas jika mereka tidak mampu membayar premium mereka dalam tempoh ini. – Bernama