Pendanaan projek infra Asia Pasifi k dipelbagai – Moody’s

KEKAL BERDAYA TAHAN… Menurut laporan Moody’s Investors Service, setakat ini sektor infrastruktur Asia Pasifi k telah membuktikan bahawa ia kebanyakannya berdaya tahan terhadap impak Covid-19 dengan hanya lima peratus daripada hampir 200 syarikat yang dinilai adalah terdedah kepada (impak) virus berkenaan.

KUALA LUMPUR: Usaha pendanaan projek-projek infrastruktur di Asia Pasifik dijangka kian dipelbagaikan dalam senario kebiasaan baharu berikutan pandemik Covid-19, demikian menurut laporan Moody’s Investors Service.

Dalam kenyataan semalam, firma penarafan kredit itu menyifatkan keadaan itu disebabkan oleh asas-asas sektor terbabit yang kekal berdaya tahan manakala projek-projek akan terus bergantung kepada pelabur institusi bagi memenuhi keperluaan pendanaan masing-masing.

“Setakat ini sektor infrastruktur Asia Pasifik telah membuktikan bahawa ia kebanyakannya berdaya tahan terhadap impak Covid-19 dengan hanya lima peratus daripada hampir 200 syarikat-syarikat yang dinilai adalah terdedah kepada (impak) virus berkenaan.

“Bagaimana pun, jumlah pendanaan dijangkakan semakin terhad berikutan penarikan diri sektor swasta di tengah-tengah ketidaktentuan persekitaran makroekonomi serta langkah kawalan kerajaan yang menyebabkan projek terbabit berisiko untuk ditangguhkan,” katanya.

Sehubungan itu, keadaan sedemikian berkemungkinan besar akan mengurangkan minat pihak bank terhadap komitmen pendanaan jangka panjang membabitkan sektor infrastruktur, kata Moody’s.

Pada masa sama, katanya, walaupun pendanaan bank-bank pembangunan pelbagai pihak itu ditingkatkan berikutan peranannya untuk mengurangkan impak ekonomi dan kewangan, namun tumpuan institusi terbabit lebih kepada objektif yang lebih luas berbanding aspek infrastruktur semata-mata.

“Keperluan infrastruktur bagaimana pun kekal meluas dengan lima faktor menjadi pemacu aliran jangka panjang dan permintaannya iaitu keperluan pembiayaan infrastruktur yang besar termasuk bagi daya tahan menangani persekitaran, perubahan teknologi, kadar faedah rendah yang melonjakkan tarikan infrastruktur serta penjajaran perdagangan.

“Faktor lain adalah peningkatan kepentingan risiko alam sekitar, sosial dan tadbir urus terhadap kualiti kredit serta tindakan pelabur membuat keputusan,” katanya.

Naib Presiden Kanannya, Ray Tay berkata, meskipun pandemik Covid-19 merupakan sesuatu yang tidak dijangkakan, namun ia dijangka memberi kesan positif terhadap usaha kepelbagaian pendanaan infrastruktur.

“Sebagaimana yang kita pernah saksikan pada krisis-krisis sebelum ini, jumlah pembiayaan infrastruktur ini secara amnya telah meningkat dan mengatasi nilai pasca-krisis dan aliran sedemikian dijangkakan berulang susulan pandemik ini,” katanya. – Bernama