Pemain SU FC sedia turun padang

UJIAN SWAB… Salah seorang pemain SU FC ketika menjalani ujian swab pagi semalam.

PEMAIN skuad Sarawak United FC (SU FC) siap sedia untuk kembali menyambung semua sesi latihan mereka seperti biasa.

Dalam keadaan masih menunggu isyarat daripada badan induk, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meskipun anak didik E.Elavarasan (Ketua Jurulatih) sudahpun menjalani ujian swab disalah sebuah hospital swasta semalam.

Pengurus Pasukan, Afiq Fikri Brahim memberitahu, pihaknya akan menghantar keputusan ujian swab kepada FAM sebaik sahaja ia diterima daripada pihak hospital terbabit.

Selepas itu kata Afiq, mereka perlu menunggu perkeliling rasmi daripada FAM berhubung kebenaran untuk berlatih.

“Semalam pemain bersama jurulatih dan pegawai terdiri daripada 41 orang sudah menjalani ujian swab dan kita akan menghantar keputusan tersebut kepada FAM sebaik ia diterima,” ujar Afiq pada sidang media selepas ujian itu.

Sambil berharap segalanya berjalan lancar, Afiq pada masa sama juga yakin latihan akan dapat diteruskan dalam sehari dua lagi.

Katanya, pemain nyata dahagakan latihan secara komprehensif setelah tiga bulan hanya berlatih secara sendirian ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.

Oleh yang demikian tambah beliau, sesi latihan apabila dapat dilaksanakan semua setentunya akan dipergunakan sebaik mungkin bukan sahaja bagi mengembalikan tahap kecergasan pemain.

Bahkan membentuk kombinasi yang lebih hebat antara mereka walaupun sesi latihan yang akan bermula nanti ibarat melalui proses pembentukan pasukan baharu.  

“Bayangkan…lebih tiga bulan pemain berlatih dengan skala yang terhad. Oleh itu, jika kebenaran diperolehi daripada pihak FAM membolehkan pemain turun berlatih…ia pasti akan dipergunakan dengan sebaik mungkin,” jelas Afiq.

Dalam pada itu, beliau juga berharap saingan akan bermula pada bulan September nanti kerana jarak masa yang ada memberi ruang kepada pengemudi pasukan untuk memperkemas jenteranya.

“Memang ada khabar angin mengatakan saingan mungkin bermula bolan Ogos nanti. Akan tetapi diharap perlawanan akan disambung semula pada bulan September nanti,” katanya lagi. Tujuh perlawanan menanti SU FC selepas ini, tiga aksi dilaman sendiri. Berbanding empat perlawanan yang akan berlangsung digelanggang lawan.

Oleh Faizal Bujang