Inter bergelut tewaskan Parma

PEMAIN tengah Parma, Dejan Kulusevski (kanan) dan pemain tengah Inter Milan, Roberto Gagliardini (tengah) mengejar bola semasa perlawanan Serie A Itali di stadium Ennio-Tardinim di Parma. • Foto AFP

ALESSANDRO Bastoni melengkapkan kebangkitan lewat Inter Milan ketika mereka menjaringkan dua gol dalam tempoh enam minit terakhir untuk menewaskan Parma 2-1 semalam.

Gervinho meletakkan Parma di depan dalam separuh masa pertama di Stadio Ennio Tardini tetapi Inter, yang melepaskan gol penyamaan tewat di tempat sendiri menentang Sassuolo pada pertengahan minggu, bangkit menerusi tandukan Stefan de Vrij dan Bastoni untuk meraih kemenangan penting.

Inter kekal lapan mata di belakang pendahulu Juventus dan empat di belakang Lazio di tempat kedua dengan baki 10 pusingan lagi.

“Saya fikir ia adalah kemenangan yang lebih patut kami perolehi,” kata pembantu jurulatih Inter, Cristian Stellini kepada Sky Sport Italia, dengan ketua jurulatih Antonio Conte dipaksa menonton dari tempat duduk penonton ketika dia menjalani penggantungan daripada berada di garisan tepi padang.

Sampdoria semakin menghampiri zon penyingkiran setelah tewas 2-1 kepada Bologna yang menyaksikan mereka hanya berada satu mata di atas zon penyingkiran, sementara Rogerio menjaringkan gol pada minit keenam masa kecederaan untuk memperoleh keputusan seri 3-3 untuk Sassuolo menentang Hellas Verona.

Juventus menewaskan Lecce 4-0 pada hari Sabtu dan Lazio bangkit daripada ketinggalan untuk mengalahkan Fiorentina 2-1 semalam. – AFP