Maludam dapat padang bola sepak, pentas mini

TAHNIAH… Simoi Peri menyerahkan kunci kepada Sharifuddin Hussain pada upacara ringkas perasmian Padang Bola Sepak Kampung Maludam baru-baru ini.

MALUDAM: Penduduk Kampung Maludam terutama sekali golongan belia berasa teruja setelah projek menaik taraf padang bola sepak selesai dilakukan di penempatan mereka hasil peruntukan Kerajaan Sarawak.

Projek berkenaan termasuk pembinaan mini pentas utama telah pun dilaksana dengan kos sebanyak RM500,000 bermula tahun lepas di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga.

Upacara ringkas perasmian kemudahan tersebut telah pun dilakukan oleh ADUN Lingga, Simoi Peri yang bertindak menyerahkan kunci kemudahan berkenaan ekpada Pengerusi Kelab Belia Kampung Maludam iaitu Sharifuddin Hussain.

“Selain penyediaan pentas mini utama, Padang Bola Sepak Kampung Maludam ini juga turut dilengkapi dengan kemudahan bekalan elektrik dan empat buah tandas untuk membantu menjayakan pelbagai program di sini.

“Justeru saya berharap agar penduduk Kampung Maludam dan sekitarnya tidak mensia-sia usaha Kerajaan Sarawak ini dengan menganjur pelbagai program bermanfaat di padang bola sepak tersebut kelak,” kata Simoi.

Beliau juga turut memohon kepada penduduk Kampung Maludam untuk sentiasa menjaga dan membersihkan kemudahan-kemudahan penting di dalam padang bola sepak berkenaan demi kebaikan semua pihak.

“Kemudahan yang kotor tidak akan digunakan oleh penduduk. Atas sebab itu adalah amat penting untuk kemudahan ini dijaga sebaik mungkin oleh penduduk demi menunjukkan penghargaan mereka kepada Kerajaan Sarawak berhubung usaha tersebut,” kata beliau.

Hadir sama ialah  Pegawai Tadbir Sarawak bagi Pejabat Daerah Kecil Maludam, Noraini Aden, Khairuddin dari Majlis Daerah Betong, Kaunselor Tarip Kidi, Penghulu Maszen Ahmad Rais dan penduduk kampung di sini.