Dadah bernilai RM89,560 dirampas

DIRAMPAS… Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah bersama timbalannya, Superintenden Mohd. Sabri Zainol (dua,kiri) menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Miri, semalam.

MIRI: Polis menahan seorang lelaki tempatan dipercayai pengedar dadah dan merampas dadah jenis syabu dan erimin 5 bernilai RM89,560 dalam satu serbuan ke atas sebuah rumah di Pujut di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, suspek berumur 35 tahun berasal dari Selangor itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)Miri dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di Pujut di sini, 6.30 petang.

Katanya, ketika ditahan suspek sedang menimbang dadah jenis syabu di atas lantai dalam bilik rumah tersebut.

“Hasil pemeriksaan lanjut, pasukan menemui 16 paket plastik lut sinar masing-masing berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dengan berat kasar 800 gram dan 4,130 pil erimin 5 seberat 1,239 gram.

“Selain itu, kita turut menyita dua buah kereta jenis Mitsubishi, dua rantai emas, loket sempoa emas, sebentuk cincin emas, seunit televisyen, wang tunai Ringgit Malaysia, Dolar Brunei dan Dolar Singapura bercampur-campur dengan nilai keseluruhan sitaan berjumlah RM255,782,” katanya dalam sidang media di IPD Miri, semalam.

Turut hadir, Timbalan KPD Miri, Superintenden Mohd. Sabri Zainol dan Ketua BSJN Daerah, Asisten Superintenden (ASP) Zulpaka Aidiee.

Lim berkata, maklumat awal mendapati bekalan dadah diperoleh dari Semenanjung Malaysia yang dikirim menggunakan pos laju untuk diedarkan di pasaran tempatan dan negara jiran Brunei.

Menurut beliau, siasatan awal juga mendapati suspek bergerak sendirian dan sudah terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah sejak empat tahun lalu.

“Suspek yang tidak bekerja itu juga didapati positif dadah jenis Benzo melalui ujian saringan air kencing dan direman tujuh hari sehingga 7 Julai ini,” katanya.

Katanya, suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) akta yang sama.

Selain itu,beliau berkata,pengumpulan maklumat risikan masih diteruskan bagi menyekat dan melumpuhkan jaringan aktiviti pengedaran dadah.