Program RTP mensejahterakan rakyat

DI LAPANGAN… Kennedy Chuk Pai Ugon (dua, kiri) turun padang di lapangan bersama agensi pelaksana projek di Tubau semalam.

SEBAUH: Projek pembangunan menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP) merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Sarawak untuk membangun serta menaiktaraf kemudahan infrastruktur asas di luar bandar demi kesejahteraan rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chuk Pai Ugon berkata, pelaksanaan projek terbabit menunjukkkan komitmen kerajaan dalam membawa pembangunan secara menyeluruh.

“Ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sarawak atas inisiatif RTP yang fokus untuk mensejahterakan rakyat,” katanya pada majlis penyerahan beberapa Projek RTP 2019 bagi Kawasan DUN N.66 Murum di PDM Tubau, Daerah Sebauh.

Antara projek yang telah siap ialah Projek Merata Tapak Rh. Mujan Laing, Hungei Ayak, Tubau, Projek Tabur Batu Jalan Rumah Sa Manik/Rh Jemat/Rh Chaong, Sg. Sedaun, Tubau, Projek Bina Baru Dewan Serbaguna Rh. Lichong, Tubau dan Projek Menaiktaraf Jalan Masuk ke Rumah Philip Deng, Uma Juman Eda Beran, Tubau.

“RTP itu merupakan sebahadian daripada usaha menaik taraf infrastuktur asas, utiliti dan kemudahan sosial untuk membolehkan masyarakat khususnya luar bandar menikmati kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu beliau berterima kasih kepada agensi Teknikal dan Pelaksana projek-projek RTP itu khasnya kepada Pejabat Residen Bahagian Bintulu, Pejabat Daerah Sebauh, JKR Bahagian Bintulu, kontraktor dan kepada semua pihak yang terlibat dalam menyiapkan projek tersebut dengan sempurna.

Sementara itu, beliau berharap rancangan dan pelaksanaan projek infrarakyat di kawasan DUN Murum sentiasa berjalan dengan lancar.

Oleh Ellie Edward