Covid-19: Tiada kes positif di Sarawak

KUCHING: Tiada kes positif Covid-19 dilaporkan dan sebanyak 54 individu dalam siasatan (PUI) baharu dilaporkan dan tiga kes masih menunggu ujian makmal untuk semalam.

Menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Sarawak setakat hari ini kekal sebanyak 571 kes.

“Dimaklumkan bahawa terdapat satu kes baharu yang telah sembuh dan discaj dari Hospital Umum Sarawak hari ini (semalam).

“Jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 yang telah sembuh dan discaj kekal sebanyak 538 orang atau 94.22 peratus

“Sebanyak 16 orang masih menerima rawatan di dalam wad isolasi hospital,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, jumlah kematian kekal sebanyak 17 orang.

Semalam menyaksikan sebanyak 2,164 premis telah dipantau iaitu pasar raya (357), restoran (489), kilang (26), bank (192), pejabat kerajaan (68), penjaja (19), pasar tani/awam (107), tempat ibadah (110), tempat riadah (60), tapak pembinaan (33) dan lain-lain (703).

Seramai 682 pasukan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia [PDRM] (335), Angkatan Tentera Malaysia [ATM] (41), Jabatan Sukarelawan Malaysia [RELA] (144), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia [APM] (97), Pihat Berkuasa Tempatan [PBT] (54), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna [KPDNHEP] (4) dan agensi lain (7).

Manakala, terdapat enam sekatan jalan raya di lima daerah bersempena dengan Op Benteng iaitu di Lundu (2), Bau (1), Serian (1), Sri Aman (1) dan Lubok Antu (1). Daripada enam sekatan jalan raya tersebut, sebanyak 1,531 jumlah kenderaan telah diperiksa semalam.

Setakat semalam juga, seramai 32 orang dalam pemantauan (PUS) telah mendaftar masuk di hotel untuk menjalani kuarantin, menjadikan jumlah keseluruhan PUS di 13 hotel adalah seramai 844 orang dan seramai 17.017 PUS telah tamat menjalani tempoh kurantin.

Oleh Diyana Samsuddin