Lelaki sesat ditemui selamat

DIJUMPAI SELAMAT… Operasi mencari mangsa bersama penduduk kampung.

BINTULU: Mangsa yang dikatakan sesat ketika memasang jerat di dalam hutan Batu 38, Jalan Bintulu-Miri, selamat dijumpai sekitar 6.15 petang kelmarin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, Christus Buson berkata, mangsa ialah Adi Bigot, 27, dikatakan hilang di dalam hutan sekitar 1.07 petang Isnin lalu.

“Mangsa telah dijumpai orang oleh orang awam yang melalui jalan ke Simpang Bakun anggaran 10km dari Pos Kawalan Bomba pada 6.15 petang,” katanya.

Menurutnya, mangsa dilaporkan hilang di hutan (seorang diri) ketika memasang jerat binatang pada pagi Ahad lalu dan sehingga sehingga tengah hari Isnin mangsa tidak balik ke rumah.

“Laporan polis dibuat oleh saudara mangsa pada kelmarin (Isnin) untuk bantuan mencari dan menyelamat mangsa,” katanya.

Jelas beliau, anggota mencari dan menyelamat (SAR) melakukan pencarian di kawasan terakhir tempat mangsa memasang jerat dan radius pencarian 3km dari PKB.

Katanya, mangsa dijumpai dalam keadaan selamat dan operasi tersebut pihak bomba dan polis turut dibantu oleh penduduk kampung.

Oleh Ellie Edward