Kesejahteraan, keselesaan rakyat diutamakan

UNTUK KESELESAAN… Penyerahan projek naik taraf Jalan Rh Ding/Jinggap sambil disaksikan oleh Abdul Yakub.

BALINGIAN: Kerajaan Sarawak sentiasa mengutamakan kesejahteraan dan keselesaan rakyat dengan penyediaan infrastruktur asas.

Ahli Dewan Undangan Negeri Balingian (ADUN Balingian) Abdul Yakub Arbi, berkata ia adalah demi keselesaan masyarakat atau komuniti setempat.

“Penyediaan infrastruktur asas di kawasan luar bandar sentiasa diberikan keutamaan oleh Kerajaan Sarawak dalam memastikan masyarakat hidup dengan selesa, terutama di kawasan luar bandar,”ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis Penyerahan Projek Naik Taraf Jalan Rh. Ding/Jingap, Sungai Setejok,  dan Projek Tapak Letak Kereta Rh. Jinggap dekat sini baru-baru ini.

“Antara contohnya, ialah projek yang kita saksikan hari ini iaitu Projek Naik Taraf Jalan Rh. Ding/Jingap, Sungai Setejok, dan pembinaan infrastruktur  berkenaan adalah menggambarkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap nasib masyarakat di luar bandar,” katanya lagi.

Dengan Jabatan Kerja Raya Bahagian Mukah selaku agensi pelaksana, kedua-dua projek berkenaan telah siap sepenuhnya.

Dan semestinya, ia telah memberi senyuman kepada Tuai Rumah  Jinggap Tugang yang berterima kasih kepada Yakub atas perlaksanaan projek yang akan membantu dan memudahkan kegiatan harian penduduk di kawasan mereka.

Selepas itu, wakil rakyat ini juga menyaksikan penyerahan Dewan Serbaguna, Kampung Bedanga Ulu, Mukah yang juga telah siap sepenuhnya.

“Projek pembinaan dewan ini adalah untuk keperluan penduduk kampung terutama sekali untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti yang dirancang, di samping bagi tempat beriadah untuk semua.

Justeru, saya amat berharap apa jua kemudahan yang disediakan oleh pihak berkuasa supaya digunakan dengan sebaik mungkin oleh masyarakat setempat,” tambah Yakub.

Dewan tersebut mempunyai pentas, ruang legar untuk gelanggang badminton, tandas dan sebuah stor penyimpanan.

Dalam masa yang sama, dia juga mengingatkan agar Jawatankuasa Dewan yang telah ditubuhkan akan melaksanakan tanggungjawab seperti yang diharapkan, terutama sekali dari segi penjagaan dewan tersebut demi untuk kebaikan bersama.

Oleh Henry B Siyu