Kempen derma darah Chee Chuan Khor Simanggang

FOKUS… Kakitangan perubatan sedang mengendali penderma ketika berlangsungnya Kempen Derma Darah anjuran Pertubuhan Chee Chuan Khor Simanggang di Bandar Simanggang pada 11 Julai lepas.

Pada 10 Jun lepas, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi sidang medianya di Putrajaya menggalakkan rakyat untuk terus menderma darah secara konsisten bagi menampung keperluan semasa bekalan itu di negara ini.

Ini kerana bekalan darah di Pusat Darah Negara dan tabung darah di seluruh negara kata beliau telah berkurangan sebanyak 40 peratus sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada Jun lepas.

Lagi pun kemungkinan jumlah bekalan darah sedia mungkin boleh terjejas susulan pertambahan jumlah kemalangan apabila jumlah kenderaan mulai bertambah sekarang berbanding ketika PKP sebelum ini.

Justeru tindakan Pertubuhan Meninggikan Akhlak Chee Chuan Khor Simanggang dalam menganjurkan Kempen Derma Darah pada 11 Julai lepas adalah tepat bagi membantu kerajaan menampung permintaan bekalan darah di negara ini buat masa sekarang.

Berlangsung di bangunan pertubuhan itu dalam Bandar Simanggang ini, Chee Chuan Khor Simanggang telah berjaya menarik kehadiran 80 orang penderma dengan 50 orang daripada mereka berjaya berbuat demikian setelah menjalani saringan kesihatan.

“Bagi kami angka bukanlah perkara utama. Penting sekali ialah komitmen mereka untuk membantu pesakit di hospital yang amat memerlukan bekalan darah demi kelangsungan hidup pada masa sekarang,” kata Presidennya Temenggung Kueh Aik Seng.

Bagi merakamkan penghargaan mereka terhadap penderma tersebut, pihak pertubuhan kata beliau telah pun bertindak memberikan cenderamata berupa beras, minuman Malta, telur ayam dan beberapa makanan lain kepada penyumbang berkenaan.

Selain itu, Kueh turut mengajak persatuan-persatuan dalam bandar ini untuk bertindak menganjurkan kempen seperti itu demi menambah bekalan tabung darah di Hospital Sri Aman dari masa ke semasa.

Malah tindakan mereka itu juga kata beliau adalah penting agar penduduk mempunyai platform untuk menyumbang darah masing-masing demi membantu menyelamat nyawa pesakit di hospital dalam bandar ini.

“Justeru terima kasih kami ucapkan kepada mereka yang hadir untuk menjayakan kempen ini…kehadiran anda semua secara tidak langsung mungkin boleh menyelamatkan ramai pesakit yang amat memerlukan darah untuk terus hidup kelak,” kata beliau.

Terdahulu Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis telah pun hadir di bangunan Pertubuhan Chee Chuan Khor Simanggang bagi merasmikan kempen tersebut pada jam 9.30 pagi.

Kempen tersebut telah bermula dari jam 8.30 pagi hingga 11 pagi dengan kakitangan perubatan turut hadir untuk mengendali kaunter saringan pemeriksaan dan pemeriksaan pergigian di bangunan berkenaan.

Hadir sama ialah Ketua Pergerakan Pemuda Chee Chuan Khor Simanggang, Tay Yew Hock, Ketua Seksyen Wanitanya, Lim Siang Ngo, para kakitangan kerajaan dan penderma darah di sini.

Chee Chuan Khor Simanggang pada hari seterusnya juga turut menyumbang sejumlah 20,000 keping pelitup muka kepada 14 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dari Bahagian Sri Aman dan Bahagian Betong.

Pemberian pelitup muka berkenaan adalah amat penting agar murid-murid dan warga pendidik dapat melindungi diri daripada jangkitan COVID-19 yang masih menular di dalam negeri ini pada masa sekarang.

Oleh Valentine Ngumbang