Taman Negara Kubah Simpan khazanah flora fauna terbaik dunia

AIR terjun setinggi 10 meter terdapat di Taman Negara Kubah.

 SARAWAK mempunyai banyak lokasi dan tempat yang indah dengan flora dan fauna, antaranya Taman Negara Kubah iaitu terletak lebih kurang 30 kilometer dari bandar raya Kuching.

Perjalanan ke sini boleh mudah kerana terdapat banyak pengangkutan termasuk teksi dan bas, dan jika memandu sendiri, ia hanya mengambil masa lebih kurang 40 minit dan kerana kedudukannya yang berhampiran dengan Kuching, ia sesuai untuk lawatan harian.

Taman Negara ini diwujudkan pada tahun 1989 namun hanya dibuka pada umum sekitar tahun 1995 dengan keluasan sekitar 2,230 hektar dan dipenuhi dengan flora serta fauna serta pemandangan yang menarik seperti puncak Serapi yang merupakan puncak tertinggi di Taman Negara Kubah dengan ketinggian 990m dari paras laut.

Ia meliputi Banjaran Matang di mana nama Kubah ini diambil bersempena dengan Gunung Serapi yang berbentuk seperti kubah dan ketika cuaca terang, Gunung Serapi ini dapat dilihat dengan jelas dari Tebingan Sungai Kuching (Kuching Waterfront).

Sebahagian dari Taman Negara Kubah iaitu di sebelah barat ialah Pusat Hidupan Liar Matang yang meliputi kawasan seluas 440 ekar persegi yang mana menempatkan haiwan seperti rusa sambar, buaya, musang civet, beruang matahari, landak, binturong, siamang, orang utan dan beberapa spesis burung yang amat dikenali di Sarawak.

Setiap taman negara pasti mempunyai keunikannya yang tersendiri dan begitu juga Kubah kerana disinilah berhimpunnya semua spesies tumbuhan palma yang dikatakan antara yang terbaik pernah ada di dunia.

Dan ia sudah lama diakui dunia melalui seorang ahli botani terkenal di dunia iaitu Odoardo Beccari yang menulis buku bertajuk Wanderings In The Great Forest Of Borneo yang tinggal di Sarawak pada tahun 1865 hingga 1868.

Inilah antara keunikan Taman Negara Kubah yang mungkin bagi kita biasa-biasa sahaja tetapi sebenarnya menyimpan seribu satu khazanah yang tinggi nilainya.

Taman Negara ini diuruskan oleh Jabatan Perhutanan Sarawak turut menempatkan pelbagai fasiliti termasuklah kediaman, kemudahan untuk melakukan penyelidikan dan pendidikan. Kerana keduduknnya yang hamper dengan bandaraya Kuching tempat ini sesuai untuk lawatan harian dan amat sesuai bagi pelawat yang ingin melihat haiwan di Pusat Hidupan Liar Matang

Apa yang menarik, haiwan-haiwan di sini disimpan dalam kurungan tetapi tidak seperti zoo, kurungan haiwan ini terletak di dalam kawasan hutan semulajadi yang sama seperti habitat asal haiwan ini.

Selain itu, di sini terdapat banyak tarikan lain seperti pokok-pokok hutan, gunung, paya bakau dan denai hutan yang agak panjang dan mencabar namun perjalanan denai ini mempunyai sistem serta ditanda dengan baik untuk memudahkan para pelawat.

Di sebalik keindahan taman Negara ini mungkin ramai tidak mengetahui bahawa Taman Negara Kubah ini merupakan antara taman Negara yang terkenal di kaca mata dunia suatu waktu dahulu.

Mana tidaknya, pada sekitar tahun 1987, di lokasi Taman Negara Kubah inilah pernah menjadi latar belakang kepada dua filem Hollywood iaitu yang berjudul Farewell To The King yang mana teraju utamanya adalah Nick Norte.

Kemudian di kawasan Kubah ini juga pada tahun 2003 menjadi lokasi penggambaran sebuah filem berjudul “The Sleeping Dictionary” yang dilakonkan oleh artis tersohor Hollywood iaitu Jessica Alba.

Antara aktiviti menarik dan sesuai dilakukan di sini adalah mendaki Gunung Serapi yang mana terdapat lima laluan disediakan untuk pelawat redahi iaitu Palmetum Trail, Waterfall Trail, Rayu Trail, Selang Trail dan Belian Trail.

Taman Negara Kubah turut mempunyai tempat berkhemah untuk para pelawat, selain terdapat air terjun setinggi 10 meter yang boleh dilawati dengan berjalan sejauh dua kilometre melalui denai dan merupakan satu idea yang baik untuk berendam di kolam ini selepas jauh berjalan di dalam hutan yang panas dan lembab.

Oleh Alexandra Lorna