29 dikompaun gagal patuhi penjarakan sosial

DIKOMPAUN…Orang awam yang gagal mengamalkan penjarakan sosial di tempat awam.

KUCHING: Seramai 29 orang telah dikenakan tindakan kompaun akibat gagal mengamalkan penjarakan sosial di tempat awam, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Awang Din Awang Gani dalam satu kenyataan memberitahu, Pasukan Pemantauan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) IPD Kuching telah mengambil tindakan drastik dengan membuat pemeriksaan dan mengeluarkan kompaun di sebuah premis makanan di Jalan Tun Jugah kerana penjaga premis dan pelanggan yang duduk dalam keadaan  terlalu rapat di antara satu dengan yang lain.

“Selain premis bistro dan premis makan, pihak polis juga menjalankan pemeriksaan di dua kawasan tempat letak kenderaan di sekitar pusat perniagaan komersil Bandaraya Kuching.

“Dalam pemeriksaan yang dijalankan, seramai 17 warga tempatan ( 10 lelaki dan tujuh wanita ) iaitu pelanggan dan termasuk seorang lelaki warga tempatan yang merupakan penjaga premis telah dikeluarkan kompaun.

“Selain itu, tindakan kompaun ke atas 12 individu warga tempatan di 2 lokasi tempat letak kenderaan yang berasingan di Saradise BDC dan City Square Pending di mana kesemua mereka didapati berkumpul di tempat letak kenderaan sambil meminum minuman keras dan gagal mengamalkan penjarakan sosial.

“Daripada 12 orang itu, 11 lelaki dan seorang wanita, kesemua mereka adalah warga tempatan,” jelasnya.

Beliau berkata Kesemua mereka telah diarahkan ke Balai Polis yang berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

“Mereka telah dikompaun atas kesalahan mengikut Peraturan 3, PPPPB (No. 7) 2020. Kompaun yang telah dikeluarkan tersebut perlu dijelaskan di Pejabat Kesihatan Daerah Kuching dalam tempoh 14 hari dengan nilai kompaun sebanyak RM 1,000 setiap seorang,” ujarnya.

Beliau menegaskan, pihak polis yang sebelum ini mengambil pendekatan memberi amaran kepada pelanggan dan juga pengusaha premis tidak akan berbuat sedemikian lagi.

“Ini kerana orang awam semakin leka dan semakin ramai yang tidak mengikuti SOP sepertimana yang telah ditetapkan.

“Tindakan tegas iaitu mengenakan kompaun akan dilakukan tanpa prejudis. Pemantauan dan pemeriksaan premis-premis seumpama ini akan dijalankan secara berterusan, bagi mengelakkan penularan Covid-19 yang semakin meningkat,” katanya.

Beliau berharap orang awam khususnya pengusaha premis dan pelanggan senantiasa mengikuti saranan Kerajaan dalam tempoh PKPP supaya mematuhi SOP penjarakan sosial bagi membendung penularan Covid-19.

Oleh Alexandra Lorna