Pulihara habitat orang utan, tingkat ekonomi penduduk

RUMAH Manggat di Ulu Menyang, Batang Ai

Orang zaman dahulu percaya bahawa haiwan tertentu mempunyai pertalian rapat dengan manusia.  Justeru, haiwan berkenaan akan dijaga sebaik mungkin bagi mengekalkan hubungan murni tersebut.

Kepercayaan inilah yang dipertahankan oleh Tuai Rumah (TR) Manggat Meringai sehingga beliau menyambut baik usaha memulihara kawasan sekitar rumah panjang mereka oleh Jabatan Hutan Sarawak dengan kerjasama WWF-Malaysia demi kelangsungan hidup orang utan yang mendiami kawasan sekitar mereka.

“Orang utan bukanlah sekadar haiwan bagi penduduk di kawasan ini tetapi mempunyai hubung kait dari segi kepercayaan kami. Kami percaya bahawa manusia berasal daripada keturunan orang utan atau manusia akan bertukar menjadi orang utan selepas mereka meninggal,” ujarnya.

Bertitik-tolak daripada kepercayaan inilah maka semua cadangan projek pemuliharaan kawasan di Ulu Menyang ini berjalan lancar. Penduduk rumah panjang memberi kerjasama sepenuhnya kepada Jabatan Hutan dan WWF-Malaysia yang bertindak sebagai penyumbang dana  untuk pembelian anak pokok gaharu bagi projek ini.

 Menurut Pengurus Projek Inisiatif Iklim Antarabangsa, WWF-Malaysia Cynthia Chin, projek penanaman gaharu ini bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk tempatan, tetapi juga kepada orang utan dan alam sekitar.

Dinamakan ‘Beginning Of A Journey’, projek ini merupakan sebahagian daripada pakej Pelan Tindakan Strategik Orang Utan Ulu Menyang yang telah diwujudkan oleh Jabatan Hutan Sarawak di  Batang Ai.

“Projek ini dijalankan dengan dua matlamat utama iaitu memelihara dan memulihara habitat semula jadi orang utan serta memberi sumber pendapatan tambahan kepada penduduk setempat,” ujar Cynthia.

Menerusi projek ini, penduduk kampung dapat menjana pendapatan sampingan melalui penjualan daun gaharu yang akan diproses menjadi teh gaharu.

Di samping itu, mereka juga mendapat pendapatan dari pelawat-pelawat yang menggunakan khidmat inap desa yang disediakan.

‘Dengan pendapatan sampingan ini, penduduk kampung tidak lagi membuka kawasan baharu untuk tujuan pertanian dan  kawasan yang ternyahgred dapat dipulihkan apabila tanah tersebut digunakan untuk projek penananam pokok,” ujar Cynthia tentang projek yang menjadi sebahagian daripada inisiatif projek Heart of Borneo (HoB) ini.

Keadaan ini kemudiannya kata beliau,  akan mengalakkan pertumbuhan tanaman asal di kawasan tersebut kerana pokok gaharu merupakan spesies tempatan dan tidak bersifat invasif.

Kaedah penjagaan pokok gaharu juga bersifat mesra alam, manakala baja yang digunakan pula adalah baja jenis kompos yang boleh memperbaiki struktur tanah.

“Menariknya, penduduk kampung akan membuang sendiri ulat yang terdapat pada pokok gaharu sebagai langkah pengawalan serangga perosak,” tambah Cynthia.

JUAL TEH GAHARU

Segala manfaat tersebut secara tidak langsung dapat memelihara, memulihara dan mengekalkan habitat semula jadi orang utan di kawasan Ulu Menyang.

Sehingga kini sebanyak 14,000 anak pokok gaharu telah ditanam di kawasan seluas 5.5 hektar kawasan tanah penduduk Rumah Manggat yang telah dinyahgred.

WWF-Malaysia juga membawa masuk Aquilaria Plantation Sdn. Bhd. yang bertindak sebagai pembekal anak pokok gaharu serta pemasar produk teh gaharu apabila daun gaharu telah cukup matang.

Malah syarikat ini juga telah menandatangani perjanjian eksklusif dengan WWF-Malaysia untuk membeli hasil tuaian daun gaharu dari projek ini.

“Tidak setakat itu, syarikat juga memberi khidmat nasihat kepada penduduk kampung dalam cara penjagaan pokok gaharu dan proses pemilihan daun gaharu yang sesuai untuk dijadikan teh. Teh gaharu mempunyai nilai pasaran yang tinggi apabila dipasarkan sebagai teh herba premium,” ujarnya.

Buat masa ini hanya sebuah rumah panjang iaitu Rumah Manggat sahaja yang terlibat di dalam projek ini.

Namun Cynthia berharap penduduk kampung di sekitar akan tertarik untuk menjalankan projek ini setelah melihat sendiri manfaat projek.

Kata beliau, mesej daripada projek ini cukup jelas iaitu memperkasa  masyarakat tempatan  ke arah pengurusan bersama sumber alam semula jadi mereka.

“Hal ini kemudiannya akan membawa kepada masa hadapan yang lestari, yang menguntungkan manusia, orang utan dan kawasan habitat mereka,” ujar beliau.
Sementara itu penduduk Rumah Manggat mendakwa sudah sering melihat orang utan bermain di kawasan berdekatan rumah panjang dan kebun-kebun, terutama semasa musim buah-buahan.

Malah kata beliau, sarang orang utan juga dijumpai tidak jauh dari kawasan rumah panjang, kira-kira 15 minit perjalanan jauhnya. 

“Ini kali pertama reptilia ini datang dekat dengan manusia.  Saya sangat gembira dengan pencapaian ini” kata TR Manggat.

Oleh Haini Darani