SMK Kampung Nangka Sibu ketatkan SOP demi keselamatan semua

INFO GRAFIKā€¦ Kiew Soon Lee (dua kiri) bersama para guru menunjukkan info grafik yang dilekatkan di dalam setiap kelas.

Penularan wabak pandemik Covid-19 bukan sahaja memberikan impak yang besar kepada pelbagai sektor ekonomi di negara kita, malah turut memberi kesan kepada sektor pendidikan.

Krisis global ini menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) tertangguh akibat penutupan sekolah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan diikuti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Bagaimanapun, tatkala ancaman Covid-19 kian reda dan bilangan kes yang semakin terkawal, sesi pembukaan semula sekolah dilakukan secara berperingkat berpandukan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Oleh itu, kaedah pengendalian sesi PdP oleh guru dan pelajar pastinya sangat mencabar apabila mereka perlu menyesuaikan diri dengan norma kehidupan dan kebiasaan baharu.

Sehubungan itu, pelbagai persiapan bagi menghadapi norma baharu telah dilakukan bagi pembukaan semula sekolah.

Menurut Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Nangka Sibu (KNS) Kiew Soon Lee, para guru telah bertungkus lumus dalam membuat persediaan secara berperingkat bagi mematuhi semua SOP yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), KKM atau Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, seramai 84 tenaga guru terlibat dalam proses bagi membersih dan menyusun bilik kelas pelajar.

“Kita mengikut sepenuhnya semua SOP yang ditetapkan di mana meja pelajar disusun pada jarak satu meter dan hanya 20 meja dalam satu kelas.

“Para guru kita juga telah membuat garis penjarakan sosial di semua kawasan sekolah bagi memastikan pelajar kita sentiasa menjaga penjarakan sosial mereka.

“Semua usaha ini dilakukan para guru sendiri demi menjamin keselamatan dan kesihatan para pelajar,” katanya apabila ditemui pemberita, baru-baru ini.

Menurutnya, sekolah KNS mempunyai seramai 793 pelajar secara keseluruhan.

“Ini termasuk seramai 142 pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) manakala 36 menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada tahun ini.

“Selepas mengikuti SOP yang ditetapkan, Tingkatan 5 yang mempunyai enam buah kelas sebelum ini akan menjadi lapan buah kelas.

“Penyusunan semula jadual kelas juga terpaksa dilakukan bagi melancarkan sesi pembelajaran,” ujarnya.

Jelasnya lagi, persiapan yang rapi ini diambil kerana pihak sekolah mahu ibu bapa mempunyai keyakinan untuk menghantar anak mereka kembali ke sekolah tanpa perlu bimbang akan keselamatan dan kesihatan anak-anak mereka.

“Pemeriksaan suhu para pelajar akan diambil terlebih dahulu sebelum mereka dibenarkan masuk ke kawasan  sekolah atau kelas.

“Suhu juga akan diambil selepas waktu rehat dan waktu balik. Pelajar yang mempunyai gejala akan diasingkan.

“Selain itu, kita juga menempatkan pensanitasi tangan di tempat-tempat yang sering dikunjungi pelajar seperti tandas, kantin dan bilik guru.

“Malah, kita juga menempatkan guru-guru di sekitar kawasan sekolah dalam mengawasi pergerakan para pelajar bagi memastikan pematuhan penjarakan sosial,” jelasnya.

Beliau menambah, beberapa info grafik mengenai Covid-19 juga dilekatkan di dalam bilik kelas bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar.

Sementara itu, katanya, peringkat pertama sesi persekolahan dibuka pada 24 Jun hanya untuk pelajar yang bakal mengambil peperiksaan awam seperti SPM dan STPM.

“Ini diikuti dengan pembukaan semula sekolah bagi pelajar tingkatan 1 hingga 4 pada 15 Julai,” ujarnya.

Oleh Nurzilla Mohamad