Pergerakan antara zon perlu permit polis

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) mengumumkan pergerakan antara zon bagi jabatan dan agensi di bawah kategori perkhidmatan penting (Essential Services) memerlukan salinan kelulusan daripada Ketua Jabatan masing-masing dibawa sebagai syarat untuk bergerak dari Zon 1 ke Zon 2 dan juga sebaliknya.

Sementara itu semua pergerakan dari Zon 1 ke Zon 2 dan juga sebaliknya perlu mendapat permit kebenaran daripada PDRM terlebih dahulu sebelum membeli tiket perjalanan seperti penerbangan dalam negeri (Domestic Flight), pergerakan menggunakan bas wilayah dan pergerakan menggunakan bot ekpres.

Sekretariat juga menasihati orang ramai agar tidak leka dan terus kekal waspada dan pastikan saranan dan nasihat kesihatan diamalkan pada setiap masa, tegas kenyataan itu semalam.

Antara nasihat yang sewajarnya dijadikan satu kebiasaan baharu dalam kehidupan harian dengan mengamalkan SOP:

S: Syarat-syarat seperti yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP);

O: Orang yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) perlu dilindungi, individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan;

P: Penjarakan sosial diamalkan pada setiap masa iaitu sekurang-kurangnya 1 meter.

Kenyataan itu juga mendedahkan semalam PDRM telah mengeluarkan sebanyak 53 notis kompaun kerana tidak mematuhi operasi prosedur standard (SOP) iaitu di Kuching (22), Bintulu (12), Mukah (8), Miri (6), Limbang (2), Sri Aman (1), Sarikei (1) dan Samarahan (1).

Sementara itu, kenyataan JPBNS menegaskan, PDRM akan terus memperketatkan SOP termasuk pemakaian topeng muka di tempat awam sehingga 31 Ogos akan datang.

Oleh Alexandra Lorna