Abang Jo: “Jangan ambil mudah SOP”

KUCHING: Masyarakat yang berada di  zon hijau diingatkan untuk sentiasa patuh kepada arahan pihak berkuasa, prosedur operasi standard (SOP) serta protokol ditetapkan dalam usaha memastikan zon tersebut kekal terus hijau.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata ia khususnya dalam menjaga penjarakan sosial dan sentiasa memakai penutup mulut dan hidung.

“Ketika ini, negeri dan negara kita sedang berhadapan dengan penularan jangkitan Covid-19 dengan Daerah Kuching dikategorikan semula sebagai zon merah kerana jumlah jangkitan yang telah meningkatan kepada dua angka.

“Sekatan dan protokol yang dikenakan untuk mengekang penularan virus Corona membawa banyak kesulitan kepada kehidupan sehari-harian kita.

“Namun masyarakat janganlah mengambil mudah SOP yang dikuatkuasakan kerana kita perlu mengorbankan segala keselesaan kehidupan yang biasa kita nikmati demi keselamatan kita semua daripada Covid-19,” katanya.

Beliau demikian dalam perutusannya sempena Hari Raya Aidiladha, semalam.

Dalam pada itu, beliau turut membawa umat Islam di negeri ini untuk bersama-sama meraikan hari kebesaran ini dengan penuh rasa kesyukuran dan keimanan, di samping mengukuhkan silaturahim.

“Ia agar dapat melahirkan satu ummah yang bukan sahaja memperoleh kejayaan di dunia, malah dinaungi payung rahmat Allah SWT di akhirat nanti.

“Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah rahmatnya yang tidak terhingga, seluruh umat Islam dapat menyambut Hari Raya Aidiladha.

“Ketibaan Aidiladha setiap tahun sentiasa mengingatkan kita tentang sejarah Nabi Ibrahim AS yang sanggup mengorbankan anaknya Nabi Ismail AS kerana ketaatannya kepada perintah Allah SWT.

“Sejarah ini berlaku sebagai pedoman dan petunjuk bagi umat Islam untuk mengorbankan harta dan jiwa demi keimanan kepada Allah,” ujarnya.

Beliau turut mengajak masyaraka untuk bersama-sama bermuhasabah diri dan menelusuri sejarah para anbiya’ yang sentiasa taat kepada perintah Allah dan sanggup berkorban apa saja demi keredhaannya.

Oleh Zarina Abdullah