Roti Canai Goreng unik, popular di Kapit

HANYA satu dalam sejuta, Roti Canai Goreng adalah makanan yang cukup unik dan popular dalam kalangan penduduk di Kapit, Sarawak.

Roti canai goreng seperti itu hanya terdapat di bandar Kapit. Justeru itu, maka tidak lengkaplah kunjungan bandar Kapit sekiranya tidak meluangkan masa untuk menjamu selera roti canai goreng tersebut.

Roti canai goreng tersebut hanya boleh didapati dari salah sebuah gerai yang terletak di medan selera Gelanggang Kenyalang.

Perjalanan dari Terminal Penumpang Kapit hanya mengambil masa lima minit dengan berjalan kaki untuk ke Gelanggang Kenyalang.

Tempat tersebut sememangya sentiasa dipenuhi dengan orang ramai setiap hari, terutamanya pada waktu pagi hujung minggu.

Terdapat dua jenis roti canai ditawarkan iaitu roti canai goreng dan roti canai telur goreng. Manakala harga yang ditawarkan amat berpatutan sekaligus ramai yang boleh menikmatinya.

Cara penyediaan roti canai goreng tersebut adalah digoreng dalam  kuali berisi minyak panas, berbeza dengan roti canai yang biasa dinikmati sebelum ini.

Rasa ranggupnya pula bertambah enak apabila dimakan bersama dengan kari ayam atau sambal (pedas dan manis) yang dihidangkan kepada para pengunjung.

Roti Canai Goreng Kapit juga telah diperkenalkan di Sarawak AgroFest 2018 di Pusat Konvensyen Penview di Demak di Kuching.

Ia sekali gus membolehkan semua pengunjung terutamanya masyarakat Kuching mencuba rasa keenakan roti canai goreng tersebut.

Roti canai goreng tersebut sudah lama terkenal di Kapit dan ini merupakan kali pertama ia keluar dari pasaran Kapit untuk menampilkan menu tersebut di tempat lain.

Menurut pengusahanya, Nurbaizura Abdullah, perniagaan membuat roti canai goreng tersebut diwarisi daripada neneknya dengan kini sudah empat generasi dalam perniagaan tersebut yang berusia lebih 50 tahun.

Katanya, ia berbeza mungkin belum ada yang menjual roti canai goreng seperti yang diwarisi daripada neneknya.

“Di Kapit, saya membuka perniagaan roti canai goreng dan makanan lain, saya memerlukan kira-kira 20 kilogram untuk dijual dalam masa setengah hari,” jelasnya.

Oleh Akun Giman