Ta Ann yakin prestasi 2020 lebih baik

SIBU: Kumpulan Ta Ann tetap optimis dan menjangkakan prestasi kewangan tahunan 2020 akan menjadi lebih baik daripada prestasi kewangan tahunan 2019, kata Pengerusi Eksekutif Ta Ann Holdings Berhad, Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi

“Walaupun dunia berdepan dengan kelembapan ekonomi, Ta Ann mengisytiharkan keuntungan bersih RM70.26 juta dan dividen interim satu peringkat sebanyak RM0.05 sesaham untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika penutupan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-23 Ta Ann Holdings Berhad, di salah sebuah hotel terkemuka, di sini semalam.

Hamed Sepawi menegaskan, memang tidak dinafikan pandemik Covid-19 yang melanda ekonomi global turut memberi kesan sedikit terhadap operasi dan perniagaan Kumpulan Ta Ann.

Bagaimanapun katanya, impaknya tidak seteruk yang dijangkakan kerana perniagaan utama seperti perkayuan dan kelapa sawit kumpulan tersebut masih boleh beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Seperti yang kita semua tahu ekonomi global telah dilanda wabak Covid-19. Bagaimanapun, impak terhadap operasi dan perniagaan kumpulan kami tidak seberat yang kami jangkakan kerana perniagaan utama, kayu dan kelapa sawit masih beroperasi dalam tempoh tersebut,” jelasnya.

Menurutnya, pasaran kelapa sawit mengalami penurunan mendadak pada awal penutupan tetapi sejak itu pulih sekitar 23 peratus pada Jun 2020.

“Baru-baru ini cuaca global yang buruk terutamanya di China dan India juga memberi kesan negatif terhadap pengeluaran dan bekalan minyak sayuran.

“Seperti yang dilaporkan oleh Bloomberg pada 23 Julai 2020 “stok minyak sawit di Indonesia sebagai penanam utama dunia, mungkin akan merosot menjadi yang terkecil dalam 16 bulan pada akhir bulan Julai kerana pengeluaran mencapai yang terendah dalam lebih dari dua tahun setelah banjir di wilayah-wilayah tumbuh besar terganggu penuaian dan penghantaran buah ke kilang,” ujarnya.

Beliau berkata, penawaran yang lebih rendah dari Indonesia ditambah dengan permintaan import yang lebih tinggi dari India dan China yang cenderung menyokong harga Minyak Sawit Mentah (CPO).

“Harga CPO telah meningkat daripada RM2,400 satu tan matrik pada bulan Jun dan ke tahap sekarang sebanyak RM2,700 satu tan matrik.

“Kami menjangkakan harga akan terus stabil atau mungkin akan meningkat lebih jauh menjelang akhir tahun ini,” ujarnya lagi.

Beliau memberitahu, permintaan kayu bulat dari India, yang merupakan pasaran eksport utama mereka tetap stabil.

“Kerana kayu bulat yang diimport adalah bahan mentah untuk mengekalkan aktiviti ekonomi utama mereka (India) semasa wabak ini, sedangkan pasaran papan lapis tetap mencabar tetapi dapat dikendalikan.

“Kumpulan ingin merakamkan penghargaan kepada kerajaan kerana membenarkan kelapa sawit dan industri kayu untuk terus beroperasi semasa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” ujarnya lagi.

Katanya lagi, Kumpulan Ta Ann juga merakamkan penghargaan kepada kerajaan kerana berjaya mengawal penularan pandemik tersebut dengan baik.

“Kami akan memainkan peranannya untuk memastikan bahawa semua prosedur operasi standard (SOP) yang berkaitan dipatuhi dengan tegas,” ujarnya.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ta Ann, Dato K.H. Wong serta yang lain.