Lahirkan lebih ramai jurulatih

BAGUS … Datuk Francis Harden pada Majlis Penutupan Kursus Asas Instruktur Kercergasan Fizikal Stadium Tertutup Kompleks Sukan Sri Aman, baru-baru ini.

SIMANGGANG: Kursus Asas Instruktur Kercergasan Fizikal yang dianjurkan oleh Kementerian Belia Dan Sukan Sarawak dijangka mampu melahirkan ramai jurulatih dalam bidang senamrobik.

Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis berkata hasrat itu penting kerana bandar Simanggang memerlukan ramai jurulatih tempatan dalam bidang senamrobik.

“Kursus Asas Instruktur Kercergasan Fizikal merupakan inisiatif berterusan Kementerian Belia Dan Sukan Sarawak dalam melahirkan lebih ramai jurulatih bertauliah dalam bidang senamrobik,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Kursus Asas Instruktur Kercergasan Fizikal Stadium Tertutup Kompleks Sukan Sri Aman, baru-baru ini.

Harden berkata program itu wajar diteruskan sehingga ke tahap yang lebih tinggi bagi memberi kemahiran kepada bakal-bakal jurulatih tempatan yang terdiri daripada golongan belia di daerah ini.

Katanya lagi, Simanggang memerlukan lebih ramai jurulatih senamrobik khususnya ketika menganjurkan pelbagai penganjuran aktiviti dan acara besar yang melibatkan senamrobik di sini.

Selain itu, program berkonsepkan kesihatan yang mendapat sambutan memberangsangkan, wajar diperluaskan ke kawasan luar bandar lain bagi memberi peluang orang ramai menyertainya.

“Saya sebagai wakil rakyat di kawasan ini, sangat menyokong program seumpama ini, kerana impak dari penganjuran kursus ini akan kita lihat di kemudian hari yang meliputi dari pelbagai aspek kualiti kehidupan,” tambah Harden.

Sementara itu, Pegawai Menguasa Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sri Aman, Awang Mazelan Awang Majid berkata antara tujuan kursus itu diadakan adalah bagi menampilkan bakat baharu dari kalangan generasi muda dan remaja untuk bergiat dalam bidang juru tunjuk senamrobik.

“Sekali gus ia mampu mewujudkan pelapis muda dalam bidang juru tunjuk senamrobik, supaya masyarakat terutamanya di bahagian Sri Aman tidak ketandusan juru tunjuk dalam setiap aktiviti kecergasan melibatkan aktiviti senamrobik,” jelasnya.

Namun begitu menurut beliau, usaha daripada Kementerian Belia dan Sukan Sarawak harus mendapat pujian kerana telah membuka ruang untuk para belia dan remaja menjadi juru tunjuk senamrobik dalam aktiviti senam yang diadakan tidak kira di luar atau di dalam rumah.

“Sebaik sahaja tamat kursus ini, para peserta akan dikurniakan sijil sebagai juru tunjuk senamrobik dan peserta juga secara tidak langsung akan menjadi rakan penggerak kepada kementerian, khususnya di dalam melaksanakan aktiviti di bahagian masing-masing,” katanya sambil menambah penganjuran kursus tersebut akan diadakan di bahagian Sarikei selepas ini.

Kursus yang dilangsungkan selama tiga hari itu telah melibatkan penyertaan seramai 55 orang peserta yang terdiri daripada 24 peserta lelaki dan 31 peserta wanita berumur 20 hingga 40 tahun menyertainya.

Oleh Adi Safarman