Umpan ayam mengena

SEEKOR buaya yang dipercayai membaham seorang remaja lelaki ditemui, semalam.

TANJUNG MANIS: Umpan ayam yang dipasang oleh Sarawak Forestry Corporation (SFC) dengan kerjasama Pasukan Tindakan Khas Hidupan Liar (SWAT) SFC di Sungai Belawai, berjaya menewaskan seekor buaya ‘pembunuh’ sepanjang 15 kaki.

Buaya katak yang sepanjang 15 kaki dengan lebar lebih kurang enam kali itu berjaya ditangkap dengan menggunakan kail yang dipasang kira-kira 3 kilometer (KM) dari lokasi seorang remaja dilaporkan telah diserang buaya iaitu di jeti Rumah Dadat, Tanjung Manis sekitar jam 9.15 pagi semalam.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, buaya yang ditangkap tersebut kemudiannya dibawa ke darat iaitu ke Rumah Dadat sebelum pihak SWAT SFC membelah perutnya dan menjumpai beberapa anggota badan manusia.

“Hasil proses bedah siasat yang telah dijalankan oleh pihak berkuasa telah berjaya menemui beberapa anggota badan dan cebisan tulang manusia.

“Pada masa yang sama mereka juga turut menemui baju mangsa di dalam perut buaya terbabit.

“Kesemua penemuan tersebut telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan kepada media semalam.

Bagaimanapun, operasi bagi mengesan mangsa terbabit bersambung semula pada jam 2.00 petang atas permintaan ahli keluarga mangsa.

Semalam adalah merupakan hari keenam operasi SAR telah dilancarkan dalam mencari mangsa Ricky Ganya, 14, yang dilaporkan disambar buaya ketika sedang mencari siput bersama dengan dua orang rakan sebayanya dengan ditemani oleh ibu saudaranya.

Oleh Adi Safarman / Nurzilla Mohamad