Tujuh lembu, tiga kambing tumbang

SELAMAT HARI RAYA … Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Datuk Mohd Zakaria Yadi menyerahkan pisau sembelihan kepada Mejar Md Shahrim Abd Hamid selaku ketua penyembelihan.

KUCHING: Divisyen Pertama Infantri Malaysia Kem Muara Tuang telah mengadakan sambutan Hari Raya Aidiladha dan Ibadah Qurban/Aqiqah Peringkat Zon Kuching, semalam.

Sambutan disempurnakan oleh Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zakaria Yadi dengan menyerahkan pisau sembelihan kepada Pegawai Agama Markas 1 Divisyen, Mej Md Shahrim Abd Hamid, selaku Ketua penyembelihan sebagai simbolik ibadah korban dimulakan.

Terdahulu, sambutan tersebut dimulakan dengan takbir Raya, Solat Sunat Aidiladha dan khutbah khas Aidiladha dibawah pimpinan Mej Subri Ghazali bertempat di Masjid Solahuddin Al –Ayyubi, Kem Penrissen.

Pada tahun ini, sebanyak tujuh ekor lembu dan tiga ekor kambing telah dikorbankan, tiga ekor lembu dan tiga ekor kambing merupakan penyertaan warga tentera di Zon Kuching.

Manakala Ahli Parlimen Samarahan, Rubiah Wang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Dato’ Sri Ali Mahmud masing-masing telah menyumbangkan dua ekor lembu.

Kemeriahan ibadah korban pada tahun ini sedikit berbeza dengan segala pelaksanaan mengikut garis panduan normal baharu yang telah ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Sarawak.

Bagaimanapun, sambutan tahun ini tetap meriah apabila dilakukan secara bergotong-royong yang melibatkan warga tentera di Zon Kuching, secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama umat Islam di samping bersama-sama menghayati konsep dan pengajaran disebalik ibadah qurban.

Turut hadir Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Dato’ Dzulkafli Mustaffa, Panglima 3 Bgd, Brigedier Jeneral Dato’ Azhar Ahmad, Komander Rejimen 511 AW, Brigedier Jeneral Abang Mohamad Abang Marzuki, Pegawai-pegawai Memerintah dan Pemerintah di Zon Kuching bersama-sama isteri.

Oleh Zarina Abdullah